Seramai 36 warga asing ditahan dalam serbuan imigresen di sekitar Pontian dan Kulai kelmarin.

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 37 warga asing selepas menggempur premis perniagan, kawasan tumpuan awam serta penempatan pekerja asing di sekitar Pontian dan Kulai kelmarin.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi bersepadu tersebut yang bermula pada pukul 10 pagi melibatkan pihak Majlis Perbandaran Pontian dan Majlis Perbandaran Kulai.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan tersebut disertai 72 pegawai dan anggota penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasa JIM Johor.

“Operasi ini dijalankan secara tegas dan tanpa kompromi bagi membanteras keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI), majikan tidak berdaftar, serta premis yang melanggar syarat perlesenan dan peraturan setempat.

“Pemeriksaan menyeluruh dilakukan bagi memastikan setiap warga asing memiliki dokumen sah, manakala pemilik premis dipantau bagi tingkah laku penggajian yang menyalahi undang-undang.

“Dalam operasi ini, seramai 37 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen. Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan enam hingga 47 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mereka terdiri daripada lima lelaki dewasa warganegara Indonesia, tiga lelaki dewasa warga India, sembilan lelaki dewasa Bangladesh, lapan lelaki dewasa Pakistan, enam lelaki dewasa Myanmar, seorang kanak-kanak lelaki Indonesia dan lima wanita dewasa Indonesia.

Hasil pemeriksaan katanya, mendapati PATI tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menyalahkangunakan pas lawatan sosial serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Kesemua individu yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Mereka ujarnya, ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.

Selain itu katanya, sebanyak dua keping borang 29 iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.

“JIM Johor menegaskan tindakan penguatkuasaan agresif seperti ini akan terus digerakkan secara konsisten bagi mengekang kegiatan yang menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

“Kerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam melumpuhkan rangkaian pelanggaran undang-undang serta memastikan kawasan Pontian dan Kulai bebas daripada eleman yang merosakkan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast