Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Bajet Melaka 2026 yang dibentangkan hari ini memperincikan 204 inisiatif baharu merangkumi kebajikan, pendidikan, pembangunan modal insan, keagamaan serta pemerkasaan komuniti dengan fokus menjaga kepentingan rakyat dari ditimang hingga ke liang lahad.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusuh berkata, bajet berpaksikan ‘Melaka Sayang Rakyat’ (MeSRa) itu memperuntukkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM528.8 juta dan RM93 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

“Kerajaan negeri terus merangka bajet ini sebagai memberi tumpuan pada segenap lapisan masyarakat daripada bayi sehinggalah ke warga emas, daripada ditimang sehinggalah ke liang lahad.

“Antara peruntukan terbesar di bawah inisiatif MeSRa adalah memberikan perhatian kepada warga emas, golongan orang kurang upaya (OKU) dan juga kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan bajet pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 hari ini.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, pemerkasaan syiar Islam turut menerima agihan signifikan termasuk guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA), nelayan, peniaga kecil, pengamal media serta golongan OKU antara penerima manfaat langsung.

Kerajaan negeri, jelasnya turut merancang langkah baharu bagi memudahkan urusan pengebumian dengan menyediakan 10 liang lahad siap digali di setiap kawasan tanah perkuburan dalam satu Dewan Undangan Negeri (DUN)

“Cadangan pembelian sebuah jengkaut bagi setiap DUN akan dibincangkan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan penyediaan liang lahad boleh dibuat lebih awal tanpa menunggu individu penggali kubur.

“Kita mahu memastikan kemudahan rakyat dari ditimang hingga ke liang lahad benar-benar menyeluruh, jadi bila berlaku kematian, liang lahad sudah tersedia dan waris tidak lagi berdepan kesukaran,” katanya.

Selain itu, seramai 5,200 penjawat awam negeri bakal menerima bonus setengah bulan gaji atau minimum RM2,000, selain insentif tambahan RM500 umlah keseluruhan peruntukan mencapai RM11.379 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast