JOHOR BAHRU – Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Bazar Karat membuat laporan polis susulan penularan surat bantahan membabitkan pemindahan Bazar Karat JB yang mengaitkan Istana Johor.
Pengerusinya, Fuad Rahmat, 47, berkata, penularan surat berkenaan mengelirukan ramai termasuk kumpulan peniaga yang mengadakan pertemuan dengan persatuannya bagi mendapatkan gambaran sebenar.
Beliau berkata, pihaknya ingin menjelaskan bahawa surat mahupun kandungan kenyataan dalam dokumen berkenaan tiada kaitan dengan persatuan berkenaan.
“Tujuan saya buat laporan supaya memperjelas perkara sebenar dan tiada mana-mana pihak yang membuat fitnah mencemarkan nama baik institusi diraja,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sentral pada 16 November lalu.
Pada 6 November lalu, tular surat yang mengandungi maklumat berbaur fitnah terhadap Datuk Bandar Johor Bahru dan pihak Istana Johor.
Surat berkenaan yang membantah pemindahan peniaga ke lokasi baharu juga mendakwa Datuk Bandar Johor Bahru menyatakan punca bazar perlu dipindahkan adalah pembangunan yang akan dilaksana secepat mungkin.
Perkara tersebut dimaklumkan tidak dapat dielakkan dan juga didakwa atas arahan pihak Istana Johor.
Sebelum ini pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah mengeluarkan notis pemberitahuan rasmi memaklumkan perpindahan tapak niaga tersebut ke Jalan Duke bermula 25 November lalu.- MalaysiaGazette
















