KUALA LUMPUR – Bersatu Bahagian Kuala Terengganu yang bermesyuarat hari ini mendesak supaya semua pimpinan tertinggi
menghentikan segera sebarang bentuk perbalahan.
Selain itu, pihaknya ahu kenyataan bercanggah serta serangan sesama sendiri, sama ada secara terbuka atau tersirat di media sosial.
“Bersatu sedang melalui fasa kritikal akibat pertelagahan dalaman yang telah menjejaskan imej parti dan menghakis keyakinan rakyat terhadap kemampuan parti memimpin perubahan.
“Kami di peringkat Bahagian Kuala Terengganu menuntut timbalan presiden (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) mengeluarkan kenyataan rasmi gencatan politik dalaman, mengarahkan semua bahagian dan sayap parti menghentikan serangan serta fitnah yang merosakkan parti.
“Menafikan dengan jelas dan terbuka sebarang dakwaan yang mengaitkan beliau dengan mana-mana gerakan subversif, gerakan mengutip SD atau percubaan menggugat kepimpinan Tan
Sri Presiden (Muhyiddin Yassin),” katanya dalam kenyataan.
Bahagian yang sama mahu semua pihak membersihkan persepsi hubungan dengan mana-mana ahli yang sedang berdepan tindakan tata tertib.
“Memberi penjelasan telus mengenai isu-isu yang timbul selepas PRN Sabah serta mengambil tanggungjawab kolektif terhadap prestasi parti,” katanya.
Bahagian Kuala Terengganu turut menggesa naib-naib presiden, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan ketua-ketua bahagian seluruh negara untuk patuhh dan akur dengan keputusan yang telah dibuat dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2025.
Menurut kenyataan itu, pihaknya mahu semua ahli menunjukkan kesepakatan jelas dalam menyokong kepimpinan parti.
“Menghentikan pengaruh dan gerakan yang boleh membawa perpecahan.Menjaga tatasusila politik dan menghormati keputusan Lembaga Disiplin.
“Tumpuan parti mesti kembali kepada rakyat, bukan drama politik dalaman. Pihak lawan kini mengambil kesempatan sepenuhnya terhadap perpecahan ini untuk melemahkan sokongan
kepada Bersatu.
“Bersatu Kuala Terengganu menegaskan, tiada parti yang boleh menang PRU jika kepimpinannya bercakaran dan saling meragui.
“Kami mahu melihat Bersatu kembali kuat, tersusun dan bersatu di bawah satu nakhoda,” katanya. – MalaysiaGazette
















