KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing rasa dukacita atas pemergian Allayarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang disifatkannya sebagai rakan seperjuangan dan sahabat sejati sepanjang hampir 30 tahun bersama di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Bintulu dan Presiden Progressive Democratic Party (PDP) itu berkata, berita tentang kehilangan Bung Moktar memberi kesan besar bukan sahaja kerana hubungan profesional mereka yang panjang tetapi kerana hubungan persahabatan yang dibina melalui pelbagai episod politik, tekanan dan detik kritikal negara.
Menurutnya, allahyarham yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan sering dilihat sebagai figura lantang dan tegas namun di sebalik sikap itu terserlah sosok pemimpin yang sangat mengambil berat hal rakyat, keperluan pembangunan luar bandar dan kepentingan negara.

Bung Moktar adalah antara ahli politik yang berani menyuarakan kebenaran terutama ketika situasi mendesak, katanya.
“Terdapat ketika-ketika penting dalam perjalanan politik saya, beliau tampil bersuara dengan keberanian dan keadilan. Lebih daripada sekali, beliau berdiri bersama saya ketika keadaan sukar dan taruhan politiknya tinggi.
“Saya tidak akan melupakan keikhlasan dan kejujurannya,” katanya dalam coretan panjang mengenang sahabatnya itu di Facebook malam ini.
Dalam pada itu, King Sing turut mengimbau pelbagai momen bersama Bung Moktar daripada perdebatan hangat di Parlimen, gurauan sesama rakan hingga kerjasama dalam isu-isu besar negara.
Di balik semua itu, ujar King Sing, Bung Moktar adalah seorang pemimpin yang tidak pernah lari daripada tanggungjawab dan sentiasa mempertahankan apa yang diyakininya.
“Apa yang dikatakannya, itulah pendiriannya. Apa yang dipercayainya, itulah yang dipertahankannya. Beliau seorang yang jujur, terus terang dan tulus ketika berinteraksi di luar perhatian umum.
“Kehilangan Bung Moktar merupakan satu tamparan besar kepada Parlimen, dunia politik negara dan khususnya Sabah kerana beliau memiliki pengalaman luas serta komitmen yang tidak pernah pudar terhadap rakyat.
“Bagi saya, ia adalah kehilangan seorang sahabat yang sokongan, pandangan dan kehadirannya sangat saya hargai. Persahabatan kami terbina bukan kerana jawatan tetapi kerana kejujuran dan saling menghormati,” ujarnya.
Beliau turut mendoakan agar keluarga allahyarham tabah menghadapi detik penuh kesedihan ini, sambil mengakhiri penghormatannya dengan kata-kata penuh emosi.
“Selamat jalan, sahabatku,” tulisnya. – MalaysiaGazette
















