KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menunjukkan keprihatinan peribadi dengan mengarahkan Menteri Dalam Negeri memastikan satu siasatan bebas, adil, profesional dan telus dijalankan berhubung insiden tembakan maut melibatkan tiga lelaki berketurunan India di Melaka minggu lalu.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang membuat gesaan itu menegaskan, siasatan tersebut perlu melibatkan pihak berkuasa demi memastikan segala persoalan awam dapat dijawab secara tuntas.
Menurutnya, terma rujukan siasatan perlu merangkumi soal sama ada pegawai polis terlibat telah menembak mati ketiga-tiga mangsa secara kejam, ketepatan versi rasmi polis mengenai kejadian, penglibatan si mati dalam sebarang kegiatan jenayah serta bentuk tindakan terhadap pegawai yang didapati bersalah atas kesalahan membunuh atau salah laku.
Guan Eng menyifatkan, rakaman audio detik-detik terakhir salah seorang mangsa yang dipercayai dirakam oleh isterinya sebelum, semasa dan selepas kejadian, sebagai amat mengganggu dan menimbulkan keresahan awam.
“Saya menerima begitu banyak mesej berhubung insiden ini. Jika saya menerimanya dalam jumlah sedemikian, saya pasti perdana menteri menerima lebih banyak lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan, perdana menteri perlu menangani kebimbangan masyarakat secara terbuka dan mengeluarkan arahan sewajarnya kepada Saifudin, bukan sahaja demi memastikan keadilan kepada keluarga mangsa tetapi, juga bagi menjamin keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan termasuk kedaulatan undang-undang.
“Lebih penting lagi, perdana menteri perlu menunjukkan beliau menegakkan prinsip undang-undang dan memastikan mereka yang berkuasa tidak menyalahgunakan kuasa,” katanya.
Kelmarin, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memaklumkan mengambil alih siasatan berhubung kejadian tiga suspek yang ditembak mati selepas mencederakan polis di Durian Tunggal, Melaka, pada 24 November lalu.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata, satu pasukan khas ditubuhkan di peringkat jabatannya bagi mengambil alih sepenuhnya siasatan berkait kes itu.
Katanya, tindakan itu diambil susulan laporan dibuat ahli keluarga suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa dalam kejadian itu.
Terdahulu sebelum ini media melaporkan, tiga penjenayah kes samun paling dikehendaki ditembak mati selepas menyerang anggota polis ketika cuba ditahan dalam operasi di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, ketiga-tiga suspek ditembak mati selepas menetak seorang koperal yang cuba menahan mereka dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, sehingga anggota polis mengalami kecederaan serius pada tangan kiri.
Beliau berkata, suspek bersenjatakan parang panjang terdiri dua lelaki berusia 24 tahun dan seorang berusia 29 tahun dikenali Geng DT.
Geng DT dipercayai terbabit dalam 20 kes pecah rumah, kilang dan kedai makan sejak 2024 dengan anggaran kerugian mencecah RM1.3 juta.
Suspek dipercayai menggunakan modus operandi bergerak secara berjalan kaki sambil membawa senjata untuk menyamun premis sasaran bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. – MalaysiaGazett
















