Ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 selepas hadir pendengaran hasil laporan bedah siasat pertama anaknya anggota pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Syamsul Haris Shamsudin ketika di Mahkamah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 05 DESEMBER 2025.

SHAH ALAM – Ibu Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin merayu agar pelaku yang bertanggungjawab menyebabkan kematian anaknya secara tragis dicari segera.

Ummu Haiman, 46, juga menuntut siasatan yang telus dan menyeluruh selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan kes itu sebagai membunuh, sekali gus membuka lembaran baharu dalam mencari keadilan buat anaknya.

“Hari ini dapat satu jawapan selepas apa yang saya rasakan sejak dari pertama melihat jenazah anak saya di unit forensik.

“Alhamdulilah kita semua berjaya buktikan dengan bantuan ramai pihak yang terus menyiasat kes anak saya,” katanya dalam nada sebak di perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam, di sini hari ini.

Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 hadir pendengaran hasil laporan bedah siasat pertama anaknya anggota pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Syamsul Haris Shamsudin ketika di Mahkamah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 05 DESEMBER 2025.

Ditanya mengenai perjalanan kes itu, Ummu Haiman mengakui ia memakan masa dan menguji emosi, namun dia yakin setiap usaha mereka kini berbaloi.

“Selepas ini, saya mohon… saya benar-benar merayu kepada kerajaan, AGC, pihak berkuasa… carilah siapa pelaku itu. Siapa yang bertanggungjawab menyebabkan kematian tragis anak saya, kenal pasti dan beri hukuman setimpal.

“Sebab itu saya mohon sangat… pandanglah kes anak saya dengan mata hati. Siasatlah dengan penuh ketulusan,” jelasnya.

Terdahulu, dia diwakili peguam, Datuk Naran Singh hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bagi  proses perbicaraan mendapatkan laporan bedah siasat yang pertama dan nota keterangan dari Bahagian Kecemasan Hospital Kota Tinggi, Johor.

Pada 2 Disember lalu, AGC mengarahkan kes kematian  pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Universiti Teknologi Malaysia  (UTM) Skudai itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan keputusan itu dibuat berpandukan laporan siasatan yang dibuka oleh PDRM.

Sebelum itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, dilaporkan berkata, polis sedang mengenal pasti individu yang terbabit atau bertanggungjawab menyebabkan kematian pelatih Palapes terbabit.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan kubur pelatih PALAPES itu digali semula, bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.

Kemudian pada 30 Ogos, bedah siasat kedua terhadap jasad  Allahyarham Syamsul Haris dilaksanakan di HKL dan jenazah dikebumikan semula di tanah perkuburan berkenaan pada hari sama.

Pada 28 November lalu, laporan bedah siasat diterima pihak keluarga dan peguam dengan keputusan menunjukkan punca kematiannya disebabkan kecederaan pada leher. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast