Zulkifli Hasan

MELAKA – Golongan lelaki yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak sedang berjalan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, segala proses berkaitan nafkah dilaksanakan melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Menurutnya, peranan bahagian itu telah terbukti berkesan membantu mangsa yang teraniaya dan diabaikan hak mereka oleh bekas suami.

“Kita ikut peruntukan undang-undang yang ada dan kita kuatkuasakannya sebab (kesalahan culas bayar nafkah) prosedur di dalam Mahkamah Syariah itu sudah ada.

“Sebenarnya BSK ini antara inisiatif yang sangat terhadapan dan banyak negara-negara tidak ada instrument terbaik seperti ini untuk membantu dari aspek nafkah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyempurnakan program Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Peduli: Sehari Bersama Komuniti MADANI di Kampung Paya Redan, Ayer Molek, di sini, hari ini.

Zulkifli (dua dari kanan) selepas menghadiri program Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Peduli: Sehari Bersama Komuniti MADANI di Kampung Paya Redan, Ayer Molek, Melaka hari ini.

Mengulas mengenai program Madani, beliau berkata usaha memberikan pencerahan kepada rakyat mengenai konsep Malaysia Madani sudah berjalan sejak pembentukan kerajaan semasa dan terus diperkukuh melalui pelaksanaan Pelan Transformasi Al-Falah Madani.

Sementara itu ketika ditanya mengenai spa gay di ibu negara baru-baru ini, Zulkifli enggan memberi sebarang kenyataan baharu dan menegaskan pendirian kerajaan telah pun dijawab oleh menterinya sebelum ini.

“Yang itu menteri dah buat kenyataan. Kita ikut jawapan menterilah…semuanya dalam siasatan,” katanya ringkas.

Beliau menambah bahawa sebarang tindakan lanjut akan diumumkan pihak berkuasa setelah siasatan selesai.

Program itu turut menyaksikan penyampaian bantuan Back To School kepada anak-anak penduduk setempat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast