Orang ramai menikmati fenomena air pasang di pekan Kukup, Pontian, hari ini

PONTIAN – Para peniaga di pekan Kukup di sini menganggap musim air pasang besar sejak empat hari lalu membawa rezeki apabila fenomena luar biasa itu menarik kehadiran ramai pengunjung.

Mereka datang untuk menyaksikan sendiri limpahan air laut dan menikmati pengalaman berada di kawasan yang digenangi air.

Tinjauan mendapati paras air di pekan Kukup melimpahi jalan setinggi 0.3 meter, namun pengoperasian terminal feri tidak terjejas.

Peniaga, Norita Md Din berkata, cendol serta makanan yang dijualnya habis dalam tempoh kurang dua jam selepas gerainya dibuka pada pukul 11 pagi.

Menurutnya, sejak fenomena air pasang besar berlaku pada Khamis lalu, ramai pengunjung dari luar terutama dari Johor Bahru datang ke Pekan Kukup.

“Saya sudah berniaga selama tiga tahun di Kampung Benteng Kanan dan setiap kali berlaku air pasang besar, jualan memang meningkat.

“Pada hari biasa jualan cendol hanya sekitar 30 cawan dan biasanya habis dijual pada sebelah petang.

“Nnamun ketika air pasang besar jumlah itu meningkat hampir sekali ganda, termasuk makanan bergoreng seperti kentang dan nugget yang turut licin,” katanya ketika ditemui.

Bagi peniaga kerepek, Zulkifli Mohd Hafan berkata, setiap kali air pasang besar berlaku, barangan jualan akan diletakkan ditempat tinggi bagi mengelak kerosakan akibat air laut.

Menurutnya, jualan biasa sekitar RM300 sehari, namun pada Jumaat hingga Ahad semasa fenomena air pasang besar, boleh mencecah sehingga RM500 sehari.

“Ramai orang tanya tentang air pasang besar sebab ramai yang tidak pernah lihat fenomena semula jadi ini terutama pada hujung tahun.

“Saya juga selalu kongsi dalam media sosial tentang keadaan air pasang besar di Kukup. Ramai yang teruja hendak lihat sendiri air pasang besar termasuk pengunjung dari Singapura,” ujarnya.

Bagi penduduk, mereka sudah melakukan persediaan awal dengan mengangkat barang-barang penting ke tempat lebih tinggi sebelum air pasang besar berlaku.

Penduduk Kampung Benteng Kanan, Hayati Abdul Hamid, 42, berkata, air pasang pada Sabtu naik lebih cepat daripada jangkaan sehingga memasuki bilik rumah dan mencecah para lutut sekitar 0.3 meter.

“Air pasang besar semalam dianggap paling besar kerana air biasanya hanya sampai ke kawasan surau dan belakang benteng sahaja serta lebih tinggi berbanding kejadian air pasang besar pada bulan lalu yang hanya 0.1 meter sahaja.

“Peduduk kini lebih berhati-hati memandangkan keadaan cuaca masih mendung dan berangin yang boleh menyebabkan kenaikan paras air secara mendadak. Setakat tiada pusat pemindahan sementara (PPS yang dibuka,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba, Mahadir Mamat berkata, feomena air pasang besar melanda Kukup sejak Sabtu, dengan paras maksimum 3.6 meter.

“Taman Negara Johor Tanjung Piai ditutup selama dua hari bermula hari ini berikutan fenomena air pasang besar yang mencatat.

“Penutupan itu dilakukan bagi memastikan keselamatan pengunjung kerana arus air yang sangat deras dan berisiko tinggi kepada pengunjung.

“Anggota bomba akan membuat pemantauan secara berkala bagi memastikan keselamatan penduduk dan orang ramai tidak terjejas ketika air pasang besar berlaku,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast