BATU PAHAT – Sepasang suami isteri sedang mencari ibu kandung kepada anak angkatnya berusia 12 tahun untuk urusan kad pengenalan bagi membolehkannya masuk sekolah menengah tahun depan.
Nordiana Bero, 49, yang kini tinggal di Parit Sulong di sini berkata, Fhasanda Madani ditinggalkan ibu kandungnya, Susiani Sujirman yang kini berusia 45 tahun kepadanya untuk dijaga.
“Fhasanda dilahirkan di sebuah hospital swasta di Batu Pahat pada 9 November 2013. Susiani kemudian menyerahkan Fhasanda kepada kami untuk dijaga.
“Alasannya mahu bekerja dan kami menerimanya kerana telah lama mengenalinya selain dia sering datang bertandang ke rumah pada waktu lapang
“Dalam beberapa hari selepas menyerahkan bayinya, wanita itu ada berkunjung ke rumah kami namun terus menghilangkan diri selepas seminggu kami menjaga anaknya tanpa sebarang pesan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Dia dan suami, Zulkifli Mohd Ali, 51, yang ketika itu tinggal di Kampung Petani, Minyak Beku di sini sejak itu menjaganya seperti anak sendiri.
“Melihat kepada penyerahan tanpa sebarang dokumen, saya kemudiannya mendaftarkan kelahiran bayi berkenaan sebagai pendaftaran lewat,” katanya.
Menurut Nordiana lagi, suami kepada Sisiani juga mengenali keluarganya kerana sering bersama-sama Zulkifli yang bekerja sebagai tukang rumah di sekitar Batu Pahat dan Parit Sulong.
Ujarnya, pasangan suami isteri itu sering berpindah tempat kerja menyebabkannya sukar untuk mengesan kedudukan mereka dan lebih susah lagi apabila dikhabarkan suami Susiani sudah meninggal dunia.
“Kini Fhasanda sudah berusia 12 tahun dan perlu memasuki sekolahan menengah pada tahun depan namun sukar akan sekiranya tiada kad pengenalan.
“Ini termasuk memerlukan surat penyerahan anak angkat secara sah melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya.
Sehubungan itu dia berharap orang ramai yang mengenali Susiani agar dapat menghubunginya untuk proses dokumentasi diperlukan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan JKM.
Jelasnya, ini bagi menyelesaikan masalah anak angkat secara sah dan membolehkan Fhasanda dapat meneruskan persekolahan.- MalaysiaGazette
















