Gambar tular memapar seorang remaja memecut di lampu isyarat, basikal lajak nyaris dilanggar kereta di persimpangan lampu isyarat Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua remaja lelaki selepas video aksi berbahaya mereka menunggang basikal lajak di persimpangan lampu isyarat Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, dua remaja itu ditahan di Bukit Lanchong, Shah Alam, semalam.

Beliau berkata, satu laporan polis dibuat pada 5.13 petang semalam berkaitan video tular di aplikasi TikTok yang memaparkan tindakan kedua-dua remaja terbabit.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 4 Dis lepas, kira-kira 5.55 petang ketika kedua-dua remaja itu datang dari arah Persiaran Putra Perdana menghala ke Kampung Tengah.

“Mereka didapati menunggang secara berbahaya dengan melanggar lampu isyarat merah dan hampir merempuh sebuah kereta sedang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata, tindakan melulu tersebut boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain, dan kes disiasat mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Insp Mohd Azizul Hakim Roslan di talian 011-28914495 bagi membantu siasatan, katanya. BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast