Perhimpunan Agung ke-3 (AGM) Perwakilan Pusat MCA Penggal ke-30 hari ini.

Jika masih ada dalam kalangan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang hanya mementingkan diri sendiri, ibarat “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”, maka tindakan terbaik bagi MCA adalah meneroka haluan baharu yang lebih selari dengan realiti politik semasa dan aspirasi rakyat.

Jika MCA gagal kembali ke landasan perjuangan asal, kami tidak layak mewakili rakyat — dan rakyat berhak terus menolak kami.

Hari ini berlangsung Perhimpunan Agung ke-3 Perwakilan Pusat MCA Penggal ke-30 di Wisma MCA. Sebagai sebuah parti politik, MCA tidak boleh lari daripada suara akar umbi yang menjadi teras kekuatan kami.

Tanpa akar yang kukuh, mana mungkin pokok mampu berdiri teguh dan berbuah untuk manfaat semua.

Pemuda MCA menyokong penuh Ucapan Dasar Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, yang memberi fokus kepada hala tuju masa depan MCA.

Penting untuk parti bukan sekadar bangkit, tetapi memperkukuhkan struktur dalaman serta mengembalikan keyakinan rakyat. Fasa sukar yang kami lalui mengajar banyak perkara — siapa kawan sejati, siapa pengkhianat, dan siapa parasit yang hanya memburu kuasa serta kepentingan diri.

Sejak kekalahan besar BN pada PRU14, MCA telah melalui proses muhasabah diri dan transformasi yang mendalam. Politik hari ini berubah pantas, begitu juga kehendak rakyat. Sabah, yang dahulu dianggap ‘fixed deposit’ BN, kini tidak lagi milik mutlak mana-mana parti.

Ini realiti politik moden — dinamik, berubah, dan tidak menentu. Tetapi sejarah juga membuktikan bahawa parti yang tewas boleh bangkit kembali.

Di Semenanjung, kita turut melihat perubahan sokongan, termasuk dalam komuniti Cina. Penolakan terhadap sesetengah tokoh dan parti DAP yang dahulunya diagung-agungkan semakin jelas.

MCA, sebagai parti yang berteraskan masyarakat Cina dan tetap memperjuangkan kepentingan semua kaum, perlu berani mengambil peluang ini dengan menawarkan hala tuju yang lebih segar, inklusif dan progresif.

Sebagai parti yang memperjuangkan kemerdekaan negara sejak awal, MCA berhak menentukan masa depannya berasaskan semangat demokrasi dan kehendak rakyat.

Aspirasi anak muda mesti diberi keutamaan. Generasi hari ini tidak lagi termakan retorik kosong. Justeru, MCA mesti menjauhkan diri daripada kelompok yang memperdagangkan sentimen agama dan kaum demi meraih sokongan. Kita juga mesti menolak politik sempit yang merosakkan keharmonian negara.

Walaupun tanpa apa-apa jawatan dan kepentingan dalam Kerajaan Madani, MCA masih boleh berdiri teguh, berjalan tegak dan terus mewakili suara rakyat.

Walaupun dilanda badai dari segenap penjuru, MCA tidak pernah tunduk kepada kuasa apatah lagi bersikap melukut di tepi gantang.

Atas kehendak akar umbi dan demi masa depan masyarakat majmuk negara ini, MCA mesti memilih haluannya dengan berani — tanpa tunduk kepada mana-mana pihak yang rela terjun ke lembah kehancuran demi kuasa sementara.

Dan jika ditanya apakah gabungan terbaik untuk MCA? Jawapannya jelas: MCA harus memilih rakan yang tahu menghormati sahabatnya, jujur dalam kerjasama, tidak mementingkan diri, berkongsi perjuangan dan matlamat yang sama, serta yang paling penting — sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

Oleh,

Neow Choo Seong, Ketua Penerangan Pemuda MCA

 

 

 

 

 

 

 

Nota pengarang: Artikel ini adalah sepenuhnya pandangan penulis dan tidak mewakili pendapat dan pendirian MalaysiaGazette. 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast