Keadaan motosikal mangsa yang rosak teruk selepas terlibat kemalangan dengan empat kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan, Batu Pahat, malam tadi.

BATU PAHAT – Seorang pemuda maut selepas terlibat kemalangan dengan empat buah kenderaan di Kilometer 110.4, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan berlaku pukul 12.05 tengah malam melibatkan dua kereta dan dua motosikal dari arah arah utara dan sedang menghala ke selatan.

“Apabila tiba di tempat kejadian iaitu semasa motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan dan terlanggar bahagian belakang sebuah kereta.

“Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa dan motosikal terjatuh di atas jalan raya tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kemudian datang pula sebuah motosikal dan sebuah kereta lagi tidak sempat mengelak turut melanggar mangsa dan motosikalnya yang sedang berada atas jalan raya berkenaan.

Akibatnya kata beliau, menyebabkan penunggang motosikal yang terlibat dalam perlanggaran awal iaitu seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun mengalami kecederaan parah.

Menurutnya, mangsa yang parah di bahagian kepala dan dada telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Klinik Kesihatan Pagoh.

“Penunggang motosikal seorang lagi yang terlibat iaitu seorang lelaki tempatan berumur 20 tahun mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pemandu kedua-dua kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast