Rahmad Mariman

MELAKA – Sebanyak 43 daripada 80 sekolah menengah di Melaka termasuk yang mempunyai isu tertentu sudah menggunakan pengimbas logam bagi mengawal kemasukan telefon bimbit serta peralatan terlarang ke dalam kawasan sekolah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, langkah itu adalah antara 13 inisiatif utama kerajaan negeri tahun ini bagi menangani isu disiplin pelajar.

Menurutnya, ia termasuklah salah laku membabitkan penggunaan telefon bimbit, buli serta pengaruh negatif media sosial.

“Kita tahu jumlah murid di Melaka sangat ramai, sekitar 161,000 di 400 sekolah termasuk sekolah di bawah Jabatan Agama Islam jadi bila ramai, pelbagai isu timbul dan mutakhir ini banyak pula yang tular.

“Kita sasarkan sekurang-kurangnya semua 80 semua sekolah menengah kena beli satu atau dua alat pengesan logam ini kerana harganya pun tak mahal dan mampu milik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Seri Negeri hari ini.

Ditanya adakah kesemua 43 sekolah yang menggunakan alat itu kerana mempunyai kes buli, Rahmad berkata, ia berdasarkan semua isu yang telah dikenal pasti.

“Sebabnya setiap sekolah ada isu-isu yang kita nak tangani supaya telefon bimbit ini tidak di bawa ke dalam sekolah dan pembelian alat dibuat berdasarkan syor serta galakan.

“Kita tidak mahu telefon lepas masuk ke sekolah kerana media sosial sangat memberi pengaruh kepada pelajar dan kebanyakannya pengaruh tidak baik,” tegasnya lagi.

Selain alat pengesan logam, beliau berkata, kerajaan negeri turut memperkukuh usaha pencegahan buli melalui pemeriksaan mengejut bersama rakan strategik terdiri daripada Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Agama Islam Melaka.

“Selain itu adalah penyediaan platform aduan seperti WhatsApp Anti-Buli di talian 014-800 9325, sistem SISPA, e-mel aduan Kementerian Pendidikan Malaysia serta peti aduan di setiap sekolah.

“Peningkatan jumlah kes buli yang direkodkan sejak kebelakangan ini bukan bermakna kejadian semakin banyak, tetapi kerana lebih ramai pelajar kini berani membuat aduan melalui semua saluran yang disediakan ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast