MELAKA – “Siapa lambai tangan dia dapat, tak lambai tak dapat (RM100),”.
Itu teriakan seorang ahli perniagaan dikenali Datuk Salim Abdul Rahman kepada puluhan pengunjung di sebuah bazar di Klebang, di sini, yang tular hari ini mengedarkan wang tunai dalam not RM100 kepada mereka.
Menerusi video berdurasi 38 saat yang tular, individu terbabit dilihat memegang not RM100 yang tebal di tangan kirinya sambil tangan kanan menghulurkan RM100 kepada sesiapa sahaja yang melambai tangan ke arahnya.
Kejadian dipercayai berlaku beberapa hari lalu pada hujung minggu sambil orang ramai teruja dan tersenyum apabila mendapat wang mudah itu.
Sepanjang 38 saat video berkenaan, lelaki itu dilihat menghulurkan tidak kurang daripada 20 not RM100 berkenaan kepada orang ramai sambil berjalan menghampiri orang ramai yang sedang beratur.
Terdapat lebih 20 orang lagi sedang beratur menunggu giliran mendapatkan ‘durian runtuh’ itu.
Tidak dapat dipastikan apakah tujuannya berbuat demikian, namun empat individu lain yang mengekorinya dari belakang memaklumkan tujuan Salim berbuat demikian hanyalah untuk berkongsi rezeki
Perkongsian video berkenaan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga net termasuk memuji dan mempersoalkan apakah motif orang kenamaan terbabit berbuat demikian. – MalaysiaGazette
















