Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pas mengajak MCA duduk semeja bagi menjernihkan segala kekeliruan dan salah tanggapan yang wujud berhubung dasar parti itu seperti yang dibangkitkan oleh kepimpinan MCA.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pandangan atau tanggapan kurang tepat terhadap Pas tidak wajar dibuat berdasarkan persepsi semata-mata, sebaliknya perlu diperjelaskan melalui dialog terbuka antara kedua-dua pihak.

“Saya mengambil maklum kenyataan Presiden MCA sebagaimana dilaporkan semalam. Apa juga pandangan terhadap Pas wajar dijernihkan melalui dialog terbuka dan bukan melalui persepsi yang tidak lengkap.

“Saya ingin menegaskan bahawa kami sentiasa bersedia berdialog dengan mana-mana pihak bagi menjelaskan dasar serta mengatasi sebarang kekeliruan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, MCA sebelum ini pernah bekerjasama dengan Pas dalam pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mengetahui secara dekat pendekatan parti itu ketika mentadbir.

“Sepanjang tempoh itu, tidak pernah timbul sebarang konflik besar antara Pas dan MCA yang membawa perbalahan terbuka. Situasi ini berbeza dengan apa yang kita lihat dalam kalangan parti-parti kerajaan hari ini, yang sering berdebat di khalayak secara tidak produktif,” tambahnya.

Semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, mendedahkan wujud gesaan supaya parti itu meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan menyertai PN. Namun beliau memberi bayangan bahawa MCA tidak akan berbuat demikian selagi Pas berada dalam gabungan tersebut.

Ka Siong berkata, sentimen masyarakat Cina secara umumnya kurang selesa dengan Pas, khususnya selepas parti itu memutuskan hubungan dengan DAP kira-kira 10 tahun lalu, yang menyebabkan pengundi Cina semakin sukar menerima parti berteras Islam tersebut.

“Ada mencadangkan kita menyertai gabungan pembangkang, PN, tetapi amat jelas masyarakat Cina sekian lama tidak mempunyai pandangan positif terhadap Pas, malah menolak parti itu.

“Sentimen ini semakin mendalam selepas Pas menamatkan kerjasama dan memutuskan hubungan sepenuhnya dengan DAP 10 tahun lalu,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung MCA di ibu negara hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli menegaskan, pengalaman pentadbiran bersama sepatutnya menjadi asas kefahaman bahawa Pas bukan parti yang memusuhi mana-mana kaum atau agama.

Katanya, Pas sentiasa memilih jalan rundingan dan keharmonian dalam menangani perbezaan.

“Jika masih wujud salah faham atau keraguan, pintu Pas sentiasa terbuka untuk dialog,” katanya lagi. – MalayiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast