KUANTAN – Pejabat Tanah dan Daerah Pekan telah menolak permohonan pewartaan dua buah Kampung Orang Asli (KOA) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pekan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, dua kampung itu ialah KOA Gumum dan Air Hitam.
“Terdapat sembilan buah KOA di DUN Chini. Enam KOA telah diangkat permohonan pewartaan tanah kepada Pejabat Daerah dan Tanah Pekan.
“KOA Tanah Merah, Dusun, Tasik Mentiga dan Arong masih lagi dalam proses pertimbangan pihak PTD manakala KOA Gumum dan KOA Air Hitam telah ditolak berikutan pertindihan dengan rezab hutan simpan dan hak milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Mohd Sharim Md Zain pada sesi soal jawab lisan dalam Mesyuarat ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15, di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
ADUN Chini itu bertanya mengenai status semasa berkaitan pewartaan perkampungan masyarakat Orang Asli (OA) khususnya di DUN Chini.
Sementara itu, Syed Ibrahim yang juga ADUN Kerdau menambah, permohonan KOA Batu Gong dan Belukar Nangka masih belum dikemukakan kerana dalam proses penyediaan pelan perimeter.
Manakala KOA Tanjung Keruin pula masih belum dilaksanakan kerja ukur.
“Kerajaan negeri secara dasarnya telah bersetuju meluluskan perizaban 76 KOA di Pahang untuk diwartakan di bawah Seksyen 7 (1) Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) dan 141 KOA di bawah Seksyen 6 Akta sama.
“Daripada jumlah tersebut, pentadbiran tanah telah menerima dan sedang memproses cadangan pelan warta yang diterima daripada syarikat juruukur melibatkan lapan KOA di Chini,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette















