Dr. Azman Ibrahim

KUALA LUMPUR – Tindakan menguatkuasakan peruntukan undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) baru-baru ini telah berjaya memaksa rundingan semula isu tanah negeri yang telah dimajukan sebagai ladang Felda/FGV.

Rundingan tersebut adalah mengenai Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah di bawah Seksyen 425 KTN yang sebelum ini menemui jalan buntu selama lebih 40 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri telah sekian lama berusaha mencari jalan penyelesaian secara ‘menang-menang’ namun tiada persepakatan berjaya dicapai.

“Sejak dari awal lagi Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa mencari jalan dan ruang untuk membawa isu tanah Kerajaan Negeri yang telah dimajukan sebagai ladang Felda/FGV ke meja rundingan bagi mencari persepakatan secara menang-menang.

“Setelah melalui tempoh 40 tahun yang begitu lama tanpa penyelesaian, maka Kerajaan Negeri terpaksa menguatkuasakan peruntukan undang-undang di bawah KTN,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Penyelesaian Tanah FELDA turut menyifatkan langkah tegas penguatkuasaan undang-undang sebagai katalis kerana berjaya membuka kembali meja rundingan yang kini telah dimulakan antara Kerajaan Negeri dan Pengurusan Tertinggi Felda.

“Kerajaan negeri mengamalkan prinsip terbuka dalam perundingan, menuntut bukan semestinya kita dapat semua, bertolak ansur tapi bukan hilang semua.

“Cuma terdapat beberapa perkara yang telah sedia termaktub dalam Peraturan Tanah Terengganu (Terengganu Land Rules) yang tidak boleh dikompromi dan perlu dipatuhi.

“Ini termasuklah perkara berkaitan kadar premium, cukai tanah dan penyelesaian bagi cukai tertunggak sepanjang 40 tahun tempoh pengurusan tanah tersebut oleh Felda/FGV,” jelasnya.

Azman berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak dijangka akan diteruskan bagi mencapai persetujuan yang memberi manfaat kepada semua pihak khususnya kerajaan negeri dan juga peneroka Felda di Terengganu.

Kenyataan daripada Setiausaha Kerajaan Terengganu

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu menyifatkan hasil rundingan positf berkaitan tuntutan Kerajaan Negeri Terengganu terhadap tanah milik kerajaan yang dimajukan sebagai ladang komersial oleh Felda / FGV.

Selaras itu, kerajaan negeri Terengganu bersetuju untuk melanjutkan tempoh remidi di dalam notis yanh dikeluartkan bagi satu tempoh bulan berakhir pada 7 Januari 2026 dan tidak kan meneruskan dengan notis yang dikeluarkan kepada kesemua Lembaga Pengarah FGV. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast