KUALA LUMPUR – Malaysia memandang serius perkembangan terkini di kawasan sempadan Thailand–Kemboja dan menyeru agar semua pihak mengambil langkah segera bagi meredakan keadaan serta mengelakkan sebarang insiden yang boleh menjejaskan usaha perdamaian yang telah dicapai sebelum ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau kekal sebagai keutamaan utama Malaysia.
Katanya, negara ini mengiktiraf komitmen kedua-dua negara melalui Perjanjian Gencatan Senjata pada 28 Julai, Mesyuarat GBC pada 7 Ogos, serta KL Accord yang dimeterai pada 26 Oktober 2025.
“Dalam semangat persefahaman serantau dan kepatuhan kepada komitmen terdahulu, Malaysia menyeru agar semua pihak kembali merujuk serta mematuhi Para 7 Perjanjian Gencatan Senjata bertarikh 28 Julai, yang menyatakan: “Dalam keadaan berlakunya konflik bersenjata, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, kedua-dua pihak mesti segera berunding di peringkat tempatan melalui mekanisme dua hala sedia ada bagi mengelakkan keadaan daripada meruncing di sepanjang sempadan,” katanya.
Mohamad berkata, Malaysia percaya bahawa melalui dialog berterusan, langkah diplomatik yang konstruktif, serta penghormatan terhadap mekanisme dua hala yang sedia ada, keamanan dan kestabilan dapat dikekalkan demi kepentingan bersama rantau ini. – MalaysiaGazette
















