BANGKOK – Thailand melancarkan serangan udara ke atas Kemboja, pada Isnin, menurut tenteranya.
Kedua-dua pihak saling menyalahkan berhubung pertempuran terbaharu di sempadan yang dipertikaikan, yang mengorbankan seorang askar Thailand.
Selepas tentera Kemboja melepaskan tembakan ke atas pasukan Thailand awal pagi Isnin di wilayah Ubon Ratchathani, “tentera menerima laporan askar Thailand telah diserang dengan senjata sokongan, menyebabkan seorang askar terbunuh dan empat lagi cedera,” kata jurucakap tentera Thailand, Winthai Suvaree dalam satu kenyataan.
Winthai berkata, Thailand telah mula “menggunakan pesawat untuk menyerang sasaran ketenteraan di beberapa kawasan” bagi mengekang serangan oleh pasukan Kemboja.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata berkata, pasukan Thailand melancarkan serangan ke atas tentera Kemboja di wilayah sempadan Preah Vihear dan Oddar Meanchey awal pagi Isnin, menuduh Thailand “melepaskan tembakan berulang kali dengan kereta kebal ke arah kuil Tamone Thom” serta kawasan lain berhampiran kuil Preah Vihear.
Beliau berkata, Kemboja tidak membalas serangan tersebut.
Met Measpheakdey, jurucakap pentadbiran wilayah Oddar Meanchey mendakwa, tembakan dilaporkan di kawasan kuil berusia berabad-abad, Tamone Thom dan Ta Krabei, dan “beberapa penduduk kampung yang tinggal berhampiran sempadan sedang melarikan diri untuk keselamatan”.
Tentera Wilayah Kedua Thailand dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 35,000 orang di Thailand telah dipindahkan dari kawasan sepanjang sempadan dengan Kemboja sejak pertempuran tercetus semula.
Kedua-dua pihak melaporkan pertempuran singkat pada Ahad, yang menurut tentera Thailand telah mencederakan dua askar.
Lima hari pertempuran berlaku antara Thailand dan Kemboja pada musim panas lalu, mengorbankan 43 orang dan memindahkan sekitar 300,000 orang sebelum gencatan senjata berkuat kuasa.
Pertikaian sempadan itu mencetuskan perang lima hari pada Julai sebelum perjanjian gencatan senjata dimeterai oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Anwar Ibrahim, dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Oktober lalu.
Gencatan senjata itu ditandatangani semasa sidang kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada bulan Oktober. – Agensi
















