KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung PKR, Aidi Amin Yazid menegaskan budaya politik menyalahkan satu sama lain tidak akan membawa negara ke hadapan, sebaliknya semua ahli politik perlu beralih kepada pemikiran yang lebih berorientasikan penyelesaian.
“Perdana Menteri bertanggungjawab memastikan negara berada di landasan betul, tetapi keputusan kerajaan adalah tanggungjawab kolektif jemaah menteri. Tidak adil meletakkan beban negara atas seorang sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Aidi, rakyat sukar melangkah ke hadapan jika hanya melihat kritikan tanpa menilai perubahan yang berlaku pada masa sama.
Katanya, kerajaan sentiasa terbuka menerima teguran, namun kritikan mesti disertai kejujuran mengakui kejayaan menangani masalah legasi.
“Pencapaian semasa seperti rasionalisasi subsidi bagi mengurangkan ketirisan, penyaluran bantuan SARA dan STR, bantuan one-off RM100 kepada semua warganegara dewasa serta kemajuan besar dalam usaha mencapai sifar kemiskinan tegar telah berjaya dilaksanakan.
“Ini juga kejayaan serta kestabilan politik di bawah Kerajaan Madani,” ujarnya.
Tambah beliau, reformasi bukan proses sekelip mata dan semua parti dalam kerajaan perpaduan perlu menghormati dinamika kesepakatan politik.
“Tidak wajar meremehkan usaha perdana menteri sepanjang tiga tahun ini. Mungkin belum sempurna, tetapi dengan kerjasama lebih positif, kita boleh mencapai lebih banyak.
“Jika benar kita mahukan reformasi, semua pemimpin perlu mula berfikir tentang penyelesaian, bukan sekadar mencari kelemahan,” tegas beliau. -MalaysiaGazette
















