Peniaga sayur, Zaliah Zainul ketika ditemui di Pasar Besara Pekan hari ini

PEKAN – Peniaga sayur di Pasar Besar Pekan, di sini terpaksa mengurangkan pembelian bekalan daripada pemborong berikutan kenaikan mendadak harga sayur berdaun dan cili padi.

Rata-rata peniaga berkata, harga sayur berdaun kini naik sehingga RM12 sekilogram berbanding antara RM5 hingga RM7 sebelum ini.

Ketika ditemui, Zaliah Zainul, 50, mengakui kenaikan harga sayur dan cili mendorong dia mengurangkan belian daripada pemborong.

“Kebiasaan sebelum ni saya ambil bekalan enam bakul lada dari Pasar Borong Kamunting, Kuantan, tapi dalam dua minggu ni hanya tiga bakul sahaja. Sebab harga naik, jadi terpaksa naikkan harga jualan juga.

“Sayur Bak Choy dan sayur berdaun lain biasanya boleh jual RM5 hingga RM7 sekilogram, tapi sekarang jadi RM12. Terpaksalah,” katanya.

Zaliah Zainul ketika di temui di kedainya di Pasar Besa Pekan

Zaliah yang sudah berniaga di pasar berkenaan sejak 20 tahun lepas bagaimanapun berkata, kenaikan harga sesetengah sayur itu sudah boleh dijangka berikutan memasuki musim Monsun Timur Laut (MTL).

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga sayur, Norhayati Zainudin, 32 berkata, pembeli sudah pun diberitahu mengenai kenaikan harga sayur di kedainya.

“Tak boleh dielakkan sebab kita ambil (bekalan sayur) daripada pemborong pun sudah mahal. Pemborong kata, salah satu punca kenaikan harga sebab kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands yang menyebabkan bekalan tak mencukupi.

“Kebun berdekatan ada yang boleh jual kepada kita, tapi tetap mencukupi untuk keperluan pembeli. Jadi, saya memang kena ambil dari Pasar Borong Kemunting, Kuantan juga,” tambahnya.

Norhayati Zainudin ketika ditemui di kedainya di Pasar Besar Pekan

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang,  Jezlily Jamaludin berkata, pihaknya sentiasa memantau jika berlaku kenaikan mendadak harga bekalan sayur.

Beliau turut mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang laporan dan aduan berkenaan kenaikan harga melampau harga sayur di negeri ini buat masa ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast