KUANTAN – Seorang pengusaha restoran di daerah Jerantut kerugian lebih RM700,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan secara harian.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, mangsa seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun telah diperdaya suspek menerusi iklan pelaburan saham “Nexispeak Global” di aplikasi Facebook pada 17 September lepas.
“Mangsa kemudiannya dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai “Christy” dan dimasukkan ke dalam pelaburan yang menjanjikan pulangan harian sekitar RM550.00 hingga RM600.00 dengan keuntungan sehingga 85 peratus kepada pelabur.
“Mangsa turut diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi dikenali sebagai “WHG Roup” kononnya bagi tujuan paparan urus niaga dan pemantauan pelaburan saham tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa telah membuat sebanyak 23 kali transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM783,000.00 dalam tempoh 20 Oktober sehingga 7 Disember baru-baru ini.
Tambah Azry Akmar, mangsa menggunakan wang simpanan peribadi, simpanan perniagaan, pinjaman keluarga, hasil jualan barang kemas serta lebihan bayaran dua buah rumah bagi tujuan tersebut.
“Namun selepas bayaran dibuat, mangsa gagal mengeluarkan wang keuntungan dan diminta membuat bayaran tambahan atas alasan bayaran IPO,” katanya.
Menurutnya lagi, mangsa kemudian menyedari dirinya telah ditipu dan terus membuat laporan polis.
Beliau menasihati orang ramai agar berwaspada dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, khususnya yang dipromosikan melalui media sosial. – MalaysiaGazette
















