Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (Mou) diantara Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Sazaliza Zainuddin (kanan) pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri Bulan Disember 2025 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 11 DISEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan, sehingga kini sebanyak 1.3 juta pekerja berjaya mencarum caruman mandatori melalui kira-kira 60,000 majikan sejak ia dikuatkuasakan 1 Oktober lalu.

Katanya, data itu menunjukkan permulaan positif di kalangan majikan yang patuh dan bertanggungjawab.

Bagaimanapun KWSP berkata, masih terdapat majikan yang masih gagal mematuhi keperluan caruman mandatori, sekali gus menjejaskan perlindungan sosial pekerja bukan warganegara mereka.

Sehubungan itu, KWSP memeterai Nota Kerjasama strategik dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengukuhkan penguatkuasaan terhadap inisiatif tersebut.

Katanya, Nota Kerjasama yang ditandatangani semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini, merupakan komponen penting dalam memastikan pematuhan majikan terhadap peruntukan Akta KWSP 1991.

Ini kerana melalui integrasi sistem antara KWSP dan JIM, kedua-dua pihak kini dapat berkongsi data secara lebih tepat dan selamat melibatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Penggajian serta pas sah lain yang membenarkan mereka bekerja di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin, berkata kerjasama tersebut meningkatkan keupayaan KWSP dan JIM dalam mengesahkan status pekerja.

“Ia juga memperkukuhkan ketelusan dan mempercepat pendaftaran pekerja bukan warganegara. Ia adalah langkah penting dalam memastikan pelaksanaan caruman mandatori dipatuhi secara menyeluruh,” katanya.

Katanya, pengukuhan sistem dan aliran data tersebut membolehkan proses verifikasi dilaksanakan dengan lebih cekap, terutama dalam fasa pelaksanaan caruman mandatori KWSP yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 2025.

Ia juga meningkatkan ketegasan dalam memastikan semua majikan mematuhi tanggungjawab statutori masing-masing. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast