Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harga cili padi yang dilaporkan melonjak sehingga RM12 sekilogram, berbanding RM5 hingga RM7 sebelum ini, susulan hujan lebat berterusan akibat Monsun Timur Laut (MTL) serta gangguan bekalan dari Cameron Highlands yang terjejas oleh kejadian tanah runtuh menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan bahan mentah penting itu menjelang musim perayaan.

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Asmawar Samat berkata, berdasarkan tinjauan di sebuah Ladang cili berhampiran denai Sungai Anak Gajah, Presint 9, Putrajaya, beliau mendapati, pengusaha-pengusaha melakukan pelbagai persiapan bagi memastikan pengeluaran tanaman tidak terputus walaupun berdepan cuaca tidak menentu.

Katanya, seorang pesara kerajaan yang pernah berkhidmat di sebuah agensi dan dikenali sebagai Pak Ngah dilihat menggemburkan tanah dalam beg poly sebagai persediaan sebelum penanaman benih antara penghujung Disember hingga pertengahan Januari tahun depan dilakukan.

“Beliau menjangkakan hasil pertama boleh dituai sebelum pertengahan Mac 2026, bagi menampung sebahagian permintaan menjelang Aidilfitri,” katanya yang juga Pengerusi Biro Pertanian dan Keterjaminan Makanan parti Putra menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Asmawar, Pak Ngah berkata, masalah utama penanam ketika ini ialah kesukaran mengurus tanaman secara terbuka sepanjang musim MTL, selain bekalan luar yang mudah terjejas akibat gangguan logistik dan bencana seperti tanah runtuh.

Bagi menangani isu berulang setiap tahun Asmawar mencadangkan agar, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Kementerian Kewangan mempertimbangkan pemberian dana untuk menggalakkan penanaman cili secara tertutup menggunakan teknologi rumah hijau (greenhouse).

Kaedah ini katanya, diyakini mampu menstabilkan bekalan cili dan sayur berdaun sepanjang tahun, sama ada ketika musim panas terik atau hujan lebat.

Tambahnya, trend pemakanan rakyat Malaysia turut berubah dan jika sebelum ini bahan pedas banyak bergantung kepada cili kering giling import dari China, kini masyarakat lebih menggemari menu seperti ayam gepok, ayam penyet dan tom yam yang memerlukan penggunaan cili segar.

Beliau menegaskan, sudah tiba masanya agensi berkaitan merangka penyelesaian jangka panjang agar bekalan makanan kegemaran rakyat tidak terputus dan harganya tidak naik secara mendadak. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast