Keadaan sebuah kilang roti yang turut dikenakan dua notis kerana kebersihan kurang memuaskan yang boleh menyebabkan pencemaran makanan dan pengendali makanan tidak mengamalkan kebersihan diri yang baik.

MELAKA – Sebuah kilang kek di Taman Angkasa Nuri, di sini, diarah tutup 14 hari selepas didapati mempunyai najis tikus dan lipas selain kotor dan berbau busuk.

Arahan dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah (PKDMT) Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam operasi diketuai Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), di sini, Selasa lalu.

Sapiah Haron

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron berkata, dalam pemeriksaan kilang kek itu, tahap kebersihan tidak memuaskan dengan pelbagai kotoran dan najis haiwan perosak.

“Banyak najis tikus dan lipas di dalam stor makanan, dinding premis yang kotor dan saluran air gagal berfungsi menyebabkan bau busuk.

“Susulan itu, pihak berkuasa terpaksa mengarahkan penutupan sementara premis berkenaan selama 14 hari mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Sebuah kilang kek di Taman Angkasa Nuri, Melaka diarah tutup selama 14 hari ekoran kotor, busuk dan mempunyai najis tikus dan lipas.

Pemilik kilang turut dikenakan dua notis Peraturan 32(1)(b), Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana gagal memastikan tempat penyediaan makanan berada dalam keadaan bersih, teratur, dan tidak menimbulkan risiko keselamatan makanan.

Selain itu, Sapiah berkata, sebuah kilang roti berhampiran turut dikenakan dua notis kerana kebersihan kurang memuaskan yang boleh menyebabkan pencemaran makanan dan pengendali makanan tidak mengamalkan kebersihan diri yang baik.

Ia menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1)(c) akta sama dan Peraturan 8(1)(a), Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Sebuah kilang mi wantan di Taman Merdeka, Melaka yang menerima tiga notis di bawah Peraturan 32(1)(b) kerana kawasan pengeluaran yang berisiko pencemaran.

“Turut dikenakan tindakan, sebuah kilang mi wantan di Taman Merdeka yang menerima tiga notis sama di bawah Peraturan 32(1)(b) kerana kawasan pengeluaran yang berisiko pencemaran.

“Arahan pembetulan telah dikeluarkan kepada ketiga-tiga pemilik kilang berkenaan selepas pemeriksaan mendapati masing-masing memperoleh skor kebersihan antara 72 hingga 82 peratus,” katanya.

Tambahnya, MPHTJ bersama PKD akan meneruskan pemeriksaan berkala dan tindakan tegas akan diambil terhadap operator yang gagal mematuhi piawaian kebersihan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast