KUALA LUMPUR – Malaysia memperkukuh langkah mengurangkan pelepasan karbon melalui kerjasama terbaharu dengan United Kingdom di bawah program UK-Malaysia PACT 2.0.
Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Ghani berkata kerjasama itu menjadi sebahagian daripada pendekatan kerajaan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar serta memenuhi komitmen pengurangan gas rumah hijau.
“Malaysia terlibat secara aktif dalam usaha antarabangsa berkaitan iklim dan kita sudah membuat komitmen untuk menurunkan pelepasan karbon. Menjelang 2035, kita menjangka pengurangan yang ketara,” katanya pada sidang media selepas melancarkan UK PACT 2.0 di sini, hari ini.
Johari menegaskan bahawa semua sektor ekonomi perlu mengambil bahagian dalam usaha tersebut, termasuk mencari kaedah yang dapat mengehadkan pelepasan gas rumah hijau walaupun negara terus berkembang.
Beliau berkata kerajaan kini memberi tumpuan memperluas amalan rendah karbon dalam aktiviti ekonomi bagi memastikan kesejahteraan dan kelestarian negara dapat dipelihara.
Menurutnya, Malaysia telah menetapkan sasaran mengurangkan antara 20 hingga 30 juta tan metrik karbon melalui beberapa strategi, termasuk perubahan besar dalam sektor tenaga.
“Kita mensasarkan 70 peratus tenaga negara pada 2050 datang daripada sumber boleh diperbaharui. Industri berat seperti besi, keluli dan simen juga perlu melabur dalam teknologi yang mampu mengurangkan pelepasan karbon kerana mereka adalah penyumbang utama,” katanya.
Johari turut menjelaskan bahawa United Kingdom akan membantu Malaysia menyeragamkan kaedah pengukuran domestik dengan piawaian antarabangsa bagi memastikan keseragaman data dan penerimaan global terhadap usaha negara.
“Itu antara langkah yang sedang kita laksanakan untuk membawa Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon,” katanya. – MalaysiaGazette
















