KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menegaskan pendiriannya menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) susulan kenyataan Naib Ketua Pemuda DAP (DAPSY) yang mengecam Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berhubung isu tersebut.
Ketua penerangannya, Nasrun Nasaruddin berkata, UEC yang dilaksanakan oleh sekolah menengah persendirian Cina merupakan sistem alternatif yang tidak selari dengan prinsip pendidikan kebangsaan berteraskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan kurikulum nasional.
“Sejak sekian lama, sistem pendidikan kebangsaan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dan kurikulum nasional. Kita bimbang pengiktirafan UEC boleh melemahkan sistem kebangsaan dan menyumbang kepada pemisahan aliran pendidikan mengikut kaum atau komuniti tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sekolah aliran kebangsaan telah menjadi asas penyatuan rakyat sejak merdeka dan usaha mengiktiraf UEC berpotensi menjejaskan perpaduan nasional.
“Pengiktirafan UEC hanya akan memecah-belahkan perpaduan antara kaum dalam negara. Kami juga bimbang graduannya mungkin kurang identiti nasional kerana penggunaan bahasa Cina sebagai bahasa penghantar bagi banyak subjek,” katanya.
Menurut Nasrun, Akta Pendidikan 1996 sudah menetapkan sistem pendidikan negara perlu berpaksikan Bahasa Melayu dan kurikulum kebangsaan.
Dalam nada sinis, beliau turut menggesa DAP memberi keutamaan kepada penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan pemimpin dan akar umbi parti itu sebelum mendesak kerajaan mengiktiraf UEC.
“Sebelum bersungguh iktiraf UEC, buat kelas Bahasa Malaysia kepada pemimpin yang berbangsa Cina. Duduk di Malaysia puluhan tahun tapi bahasa macam budak darjah satu,” sindirnya.
Nasrun menegaskan, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan akan terus mempertahankan pendirian tersebut demi menjaga dasar pendidikan dan perpaduan yang telah dibina sejak generasi terdahulu. – MalaysiaGazette
















