KUANTAN – Pasangan suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di kilometer 4 Jalan Bentong -Kuala Lumpur di Kampung Ketari berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman, Bentong malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohd Salahuddin Isa berkata, dua lagi mangsa terlibat turut mengalami kecederaan dalam kemalangan pada pukul 8.19 malam itu.
“Pasukan bomba mendapati, dua buah kenderaan terbabit kemalangan iaitu sebuah Proton Iswara dinaiki tiga sekeluarga dengan sebuah Mercedes Benz dipandu lelaki berusia 40 tahun.
“Kesemua mangsa dalam Proton Iswara didapati tersepit akibat kemalangan itu, bagaimanapun, penumpang hadapan dan penumpang belakang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Mohd Salahuddin, pasangan suami isteri yang maut bernama Mohammad Nazri Salleh dan Karmilawati Muhamad Yaakob, masing-masing berusia 51 tahun.
Manakala anak mereka yang memandu Proton Iswara berusia 23 tahun dan pemandu Mercedes Benze hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut. – MalaysiaGazette
















