MELAKA – Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dihukum penjara 12 tahun dan denda RM208,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas 16 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM36,100.
Perbuatan itu dilakukan bagi melindungi lori syarikat pengangkutan yang melakukan kesalahan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sejak 2016 hingga 2021.
Hakim, Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Tertuduh, Ahmad Jamil Md Saru, 43, disabitkan bersalah atas enam pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan 10 pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK).
Bagi pertuduhan pertama hingga keenam mengikut Seksyen 17(a) ASPRM 2009, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun setiap satu dan denda keseluruhan berjumlah RM158,000 dan jika gagal bayar dikenakan tiga hingga lapan bulan penjara.
Hakim memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini, menjadikan tertuduh hanya perlu menjalani dua tahun penjara.
Manakala bagi semua pertuduhan Seksyen 165 KK, mahkamah menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM50,000 iaitu setiap satu RM5,000, atau jika gagal bayar tambahan tiga bulan penjara.
Mengikut enam pertuduhan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, Ahmad Jamil sebagai pembantu penguat kuasa JPJ Cawangan Muar didakwa menerima suapan berjumlah RM31,100 daripada pengurus syarikat pengangkutan secara pindahan dalam talian di dua cawangan bank.
Mengikut pertuduhan satu hingga 10 di bawah Seksyen 165 KK, tertuduh didakwa menerima suatu benda yang berharga iaitu wang secara keseluruhan berjumlah RM5,000 tanpa balasan daripada pengurus syarikat sama dengan mengetahui premis terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Natrah Fareha Rahmat, memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh kerana kesalahan rasuah adalah kesalahan yang serius dan membabitkan kepentingan awam.
Peguam Mohd Azlan Shah Mohd Allias merayu hukuman diringankan kerana itu kesalahan pertama anak guamnya yang menanggung isteri dan dua anak berusia 19 dan 13 tahun.
Pihak pembelaan memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sebelum mahkamah membenarkan untuk membuat rayuan dengan syarat Notis Rayuan perlu difailkan pada hari ini dan jaminan dinaikkan daripada RM10,500 kepada RM15,000.
Tertuduh membayar jaminan terbabit. – MalaysiaGazette
















