Anggota bomba melakukan tinjauan bahan kimia yang tumpah di Jalan Terumtum 3, Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Tiada bacaan bahaya dalam kandungan udara dikesan selepas bahan kimia tumpah sejauh 300 meter di Jalan Terumtum 3, Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat di sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Iszahwati Supardi berkata, penilaian itu dilakukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dengan menggunakan , PH meter PH paper dan raman.

Jelasnya, kandungan bahan berbahaya adalah terlalu rendah dan jenisnya dikenal pasti acetic acid dan ethyl formate.

“Pakar Hazmat melaporkan bacaan di sektor 2 dan sektor 3 pada pukul 2.25 petang. Unit dron zon 3 turut tiba di lokasi. Anggaran tumpahan 3,000 liter.

“Pasukan Hazmat telah membuat penilaian terhadap sektor 5 juga. Kita dapati hanya satu sektor mempunyai bacaan bahan melebihi tahap normal.

“Selain itu didapati tiada bahan bacaan berbahaya dikesan dan kandungan bahan itu adalah terlalu rendah di kawasan tumpahan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu portal ini melaporkan terdapat tumpahan bahan kimia dikesan sepanjang 300 meter di jalan tersebut pukul 8.12 pagi sebelum ditutup untuk kerja-kerja pembersihan.

Bagaimanapun, insiden berkenaan tidak menjejaskan orang awam atau melibatkan sebarang mangsa.

Mengulas lanjut, Iszahwati berkata, perbincangan pihaknya dengan polis dilakukan bagi membuat sekatan pada parit berhampiran berikutan bahan tersebut mempunyai keberlarutan yang tinggi.

Pasa masa sama katanya, hujan lebat melanda pada pukul 3.15 petang dan penilaian lanjutan dibuat di laluan perparitan dan sungai.

“Satu pasukan turut digerakkan ke lokasi Delima 21 untuk menilai aliran bahan dan potensi penghasilan wap. Tiada wap berbahaya dikesan di lokasi tersebut,” katanya.

Beliau memaklumkan, hasil mesyuarat pihaknya dengan Jabatan Alam sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Johor Corporation (Jcorp), diputuskan kes itu diserahkan kepada pihak JAS dan Jcorp bagi pelaksanaan kerja-kerja pembersihan.

Tambahnya, seramai 17 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) terlibat dalam operasi tersebut.- MalaysiaGazette

Bahan kimia tumpah atas jalan di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast