Tertuduh, Nurfaraein Shahruddin, 35, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri barang kemas milik bosnya berjumlah RM37,000 di pejabat Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Melaka, pada 27 Mei 2025.

MELAKA – Bekas pembantu tadbir Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini atas pertuduhan mencuri barang kemas milik bosnya bernilai RM37,000 di pejabat, Mei lalu.

Tertuduh, Nurfaraein Shahruddin, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat curang telah didakwa mencuri barang kemas milik seorang wanita berusia 47 tahun di Pejabat MPHTJ, Aras 2, Kompleks Melaka Mall, Lebuh Ayer Keroh di sini kira-kira jam 11.10 pagi 27 Mei 2025.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Difahamkan, kejadian terbongkar selepas mangsa terlihat barang kemas miliknya itu dianggarkan bernilai RM37,000 yang hilang dijual secara ‘live’ di media sosial oleh sebuah premis kedai emas sebelum melaporkannya kepada polis.

Hasil siasatan polis melalui rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) premis itu kemudian berjaya membongkar kejadian sehingga membawa kepada penahahan tertuduh yang ketika kejadian merupakan kerani mangsa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib menawarkan jaminan RM10,00 terhadap tertuduh yang diwakili peguam Laila Qalida Adnan.

Peguam bagaimanapun dalam rayuannya memohon jaminan rendah kerana anak guamnya sudah tidak bekerja, menanggung dua anak kecil berusia enam dan tiga tahun selain perlu menjaga ibu bapa yang sudah tua.

Hujahnya, wanita itu juga kini hanya bergantung kepada pendapatan suami sebanyak RM1,500 sebulan sebagai pemandu lori.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin. Kes akan disebut semula pada 21 Januari 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast