JOHOR BAHRU – Seorang ibu kepada lima anak orang kurang upaya (OKU) merayu orang ramai yang menemukan 15 dokumen penting milik keluarganya agar memulangkannya secepat mungkin.
Menurut Norain Zailani, 35, antaranya ialah sijil kelahirannya, sijil pernikahan, sijil kelahiran semua anaknya, sijil akaun memeluk Islam milik suaminya, dokumen perumahan serta kad pengenalan sementara bagi tiga anaknya.
“Semua dokumen itu saya letak dalam fail bewarna merah jambu dan tercicir pada 5 Disember lalu. Saya tidak pasti dokumen itu tercicir di mana, pada hari berkenaan saya berurusan ke beberapa lokasi.
“Ini termasuk di UTC JB di Galleria, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Nasir Ismail, Pejabat Pendidikan Pasir Gudang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Permas Jaya 4.
“Saya turut ke Pasaraya Econsave di Permas Jaya sebelum menghantar anak ke Asrama Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Dia menyedari fail berkenaan tercicir selepas pulang ke rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang sebelum membuat laporan di Balai Polis Larkin pada hari sama.
Norain berkata, sekiranya mahu mendapatkan kembali semua dokumen itu bukan saja memakan masa malah membabitkan kos tertentu.
“Saya juga bimbang dokumen kami disalah guna. Keluarga kami bukan orang senang, saya akui kesilapan dan kecuaian saya namun ini tidak disengajakan,” katanya.
Menurutnya, pada masa kini, suaminya, Mohd Hassan Basri, 43, tidak bekerja dan mengalami masalah kesihatan serta hanya bergantung bantuan kerajaan sepenuhnya.
Norain mendakwa, dia sendiri menghidap pelbagai penyakit antaranya serangan sistem imun badan iaitu Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) dan penyakit kulit yang kronik, Diskoid Lupus Eritematosus (DLE).
“Suami pula merupakan tulang belakang keluarga turut disahkan menghidap penyakit jantung dan kanser usus kronik sejak lebih dua tahun,” katanya.
Pasangan itu mempunyai tujuh anak Mohd Nur Fahmi, 14; Mohd Nur Ilmi, 13; Muhammad Hassan, 12; Hana Wardatul Jannah, 10; Siti Khadijah Aisyah, 7;
Mohd Nur Nasuha, 5, dan Mohd Nur Azfar, dua tahun.
“Lima daripada tujuh cahaya mata kami iaitu anak sulung hingga anak kelima disahkan OKU kategori Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif selain mengalami masalah rabun.
“Saya berharap dan memohon jasa baik siapa yang menemui dokumen milik keluarga supaya segera menghubungi 011-63640049,” katanya.- MalaysiaGazette
















