KUALA LUMPUR – Isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak seharusnya dijadikan modal politik murahan atau alat untuk mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berkata, ia bukan soal kepentingan satu kaum atau satu parti sahaja, bahkan ia soal dasar negara menyentuh perpaduan dan masa depan sistem pendidikan nasional.
“Adakah wajar isu ini terus dibangkitkan sedangkan ia tidak mendapat persetujuan majoriti rakyat Malaysia? Adakah kerana DAP menganggap ia penting, maka seluruh rakyat Malaysia perlu menerimanya tanpa soal?
“Saya menyeru kepimpinan DAP agar tidak sekadar mahu menonjolkan diri sebagai ‘wira’, sedangkan mereka sendiri sedar bahawa isu ini tidak mendapat sokongan majoriti rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak DAP khususnya Timbalan Pengerusinya, Nga Kor Ming dengan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi.
Ini susulan kenyataan Kor Ming selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan meminta pertemuan dengan Perdana Menteri untuk membincangkan pengiktirafan UEC.
Dalam pada itu, Farhan berkata, jika DAP benar-benar ikhlas, Kor Ming sewajarnya membawa isu UEC ke peringkat kementerian serta mesyuarat Kabinet, bukan sekadar membuat kenyataan media untuk meraih simpati politik.
“Jangan jadikan isu ini sebagai umpan politik untuk memancing undi masyarakat Cina, sambil menyerang Pemuda UMNO Malaysia dengan tuduhan tidak berasas.
“Politik sebegini hanya akan memecahbelahkan rakyat dan menjejaskan kepercayaan umum terhadap Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Menurut Farhan, lebih menyedihkan apabila pemimpin muda DAP sendiri mula menunjukkan teladan buruk dengan menipu penyokong mereka, semata-mata untuk mengekalkan sokongan politik.
“Kami di Pemuda UMNO akan terus konsisten mempertahankan dasar pendidikan negara yang inklusif dan adil untuk semua, tanpa menggadaikan prinsip dan kepentingan nasional,” katanya. – MalaysiaGazette
















