KUALA LUMPUR – TV AlHijrah buat julung kalinya menganjurkan Konsert Malam Hijrah Bergema, antara lima program berimpak besar sebagai tanda penghargaan buat penonton setia yang akan diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada 31 Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, konsert itu adalah buah tangan khas daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokthar sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat dan membuktikan dakwah boleh disampaikan dengan penuh seni, harmoni, serta kemuliaan nilai.
“Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah santapan jiwa yang membangkitkan rasa syukur, refleksi dan harmoni ketika kita melangkah menuju tahun baharu.
“Gandingan dua hos berpengalaman, Faizal Ismail dan Ustaz Nabil Ahmad, diyakini mampu mengangkat mutu persembahan yang menjadi signifikan kepada kami di TV AlHijrah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Namanzee, Konsert Malam Hijrah Bergema itu bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi satu persembahan yang menyatukan irama nasyid, zikir, dan semangat hijrah dalam satu pengalaman yang penuh jiwa.
Konsert tersebut akan menghimpunkan barisan artis ternama seperti Inteam, Rabbani, Raihan, UNIC, Lah Ahmad, Hijjaz, Mawi, Sufian Suhaimi, Munsyid Muda (Simfoni, Rabithah, Fine, Aeydan, Onepath, Andika), di samping menampilkan penyanyi legenda Datuk Hattan, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Nash.
Mengulas lanjut katanya, TV AlHijrah tidak hanya menumpukan pada hiburan semata-mata dan turut menekankan pengisian ilmu melalui Konvensyen Assalamualaikum: Perjalanan Menuju Kepada-NYA yang dianjurkan di PICC pada 30 Disember ini, dari jam 10 pagi hingga 12 tengahari.
“Acara ini berlangsung dari jam 10 pagi hingga 4 petang, termasuk sesi Bengkel Solat bersama Ustazah Muzayyanah dan Ustaz Dr. Haji Nur Mohammad Hadi Zahalan.
“Konvensyen ini dianjurkan dalam skala besar menghimpunkan lebih 800 peserta dan menampilkan tokoh tersohor yang membimbing masyarakat memperhalusi hati serta memperbaiki hubungan dengan Allah SWT.
“Aktiviti seperti ini menunjukkan TV AlHijrah bukan sekadar stesen televisyen; ia adalah platform yang menghubungkan penonton dengan pengalaman spiritual secara nyata,” jelasnya.
Penonton yang tidak berkesempatan hadir ke PICC turut diraikandengan hidangan sebuah rancangan istimewa di kaca televisyeniaitu Program Anugerah Carta 114 Musim Ketiga dan Program Tenang Sekejap.
Dalam pada itu, Namanzee berkata TV AlHijrah bertekad memperluaskan capaian, memperhebatkan kandungan digital dan kembali aktif di lapangan apabila melangkah ke tahun baharu. – MalaysiaGazette
















