JOHOR BAHRU – Perbuatan seorang wanita yang menyewa bilik di sebuah rumah teres dua tingkat di sini dan sering membawa individu mencurigakan pada lewat malam terbongkar apabila ditangkap khalwat.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memberitahu, penguat kuasa melakukan serbuan di bilik itu pada pukul 2.30 pagi selepas mendapat aduan awam.
“JAINJ aduan diterima memaklumkan rumah berkenaan yang disewa mengikut bilik sering menjadi lokasi keluar masuk individu mencurigakan pada lewat malam.
“Setibanya di lokasi, keadaan rumah gelap dan pagar berkunci sebelum seorang lelaki tampil membuka pintu selepas tiga minit.
“Lelaki itu hanya berkain pelikat dan tidak menyangka kedatangan penguat kuasa, menyangkakan penghuni lain pulang tanpa kunci,” maklum kenyataan tersebut.
Pemeriksaan di ruang tamu yang gelap dilakukan menggunakan lampu suluh sebelum penguat kuasa mengetuk beberapa pintu bilik.
“Selepas kira-kira tujuh minit, satu bilik dibuka oleh seorang wanita berpakaian ringkas,” jelas JAINJ.
Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki berada di atas tilam dalam keadaan berbungkus dengan selimut merah, namun tidak mahu bangun kerana tidak berpakaian.
Penguat kuasa JAINJ kemudian menghulurkan tuala kepadanya sebelum dia diarahkan berpakaian semula.
“Pasangan itu mengaku tidak mempunyai hubungan mahram dan hanya ‘kawan’, namun siasatan awal menunjukkan mereka kerap berjumpa di bilik berkenaan.”
Tambah kenyataan itu, lebih mengejutkan pemeriksaan seterusnya menemui sejumlah besar kondom dalam beberapa kotak pelbagai jenama, warna dan jenis, termasuk beberapa kondom terpakai yang dibuang merata di sisi serta bawah katil.
“Wanita berkenaan mengakui membeli barangan itu dari sebuah kedai serbaneka berhampiran dan penghantaran dilakukan ke alamat bilik sewanya. Dia juga menyewa bilik tersebut pada kadar RM500 sebulan, termasuk utiliti.
“Difahamkan, lelaki berusia belasan tahun itu bekerja di Johor Bahru dan tinggal di rumah sewa lain kira-kira 10 kilometer dari lokasi, manakala wanita berusia 20-an turut bekerja di bandar ini.”
Jelas jabatan itu, lelaki terbabit dipercayai keluar masuk bilik tersebut hanya selepas dimaklumkan penghuni lain bahawa keadaan ‘selamat’ untuk masuk ke bilik.
Kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan dibawa ke balai polis berhampiran.
JAINJ menegaskan bahawa aktiviti maksiat di Johor sentiasa dalam pemantauan dan orang ramai digesa menyalurkan aduan 24 jam di talian 07-2076429. – MalaysiaGazette
















