KUALA LUMPUR – Tuntutan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebenarnya mempunyai kemungkinan yang sangat tipis.
Setiausaha Parti Urimai, Satees Muniandy menyifatkan lamgkah tersebut amat rumit dari sudut politik dan pentadbiran.
Jelasnya, risiko kecaman politik akan menjadi sangat tinggi jika kerajaan tetap melakukannya.
Oleh itu, DAP perlu bersikap terus terang dengan masyarakat Cina dan wajar mengakui kesilapan serta memohon maaf kerana membuat janji yang tidak realistik pada masa lalu.
“Para pengundi sebelum ini telah memaafkan janji-janji yang gagal ditunaikan, termasuk penghapusan tol PLUS dan lain-lain. Masyarakat Cina juga pasti boleh memaafkan perkara ini sekiranya ia ditangani dengan penuh keikhlasan,” katanya.
Malah, katanya, DAP lebih berintegriti sekiranya kepimpinan parti tersebut memohon maaf sekarang, berbanding terus memberikan alasan dan harapan palsu kepada masyarakat Cina.
“Kejujuran ialah satu-satunya jalan untuk mengembalikan kepercayaan dan mara ke hadapan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















