TANGKAK – Seorang warga emas yang baru pulang menunaikan solat maut dalam kemalangan dua kenderaan di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan I Azli Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 2.56 petang.
Susulan itu katanya, seramai tujuh anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya kira-kira 20 kilometer.
“Setibanya anggota bomba ke lokasi didapati kemalangan tersebut melibatkan dua kenderaan iaitu kereta jenis Proton Saga dan kereta Honda City.
“Terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu kereta Proton Saga sementara tiada mangsa tersepit dalam Honda City,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mangsa yang tersepit, Yahya othman berusia 76 tahun berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
Namun ujarnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di kawasan lokasi.
Menurut Azli, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut sementara mangsa kereta Honda City, Sia Jin Ming, 24, yang cedera diserahkan kepada pihak hospital.
Tambah beliau, operasi tamat pukul 3.45 petang.- MalaysiaGazette
















