KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan bahawa MIC kini telah bersama gabungan parti itu.
Tan Sri Annuar Musa berkata, MIC kini terus bergerak ke hadapan secara bermaruah dan tidak lagi mempunyai hasrat untuk pulang kepada parti yang didukungnya sebelum ini.
“Kita yakin MIC bergerak kehadapan secara bermaruah dan tiada hasrat untuk “pulang”…malah sudah pun checked in di rumah agam baru,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, berlegar spekulasi yang mengatakan MIC akan menyertai PN sebagai parti gabungan.
Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran dipetik berkata, parti itu tidak akan memohon maaf kepada Barisan Nasional (BN) atas keputusan untuk meneroka kerjasama ‘politik baharu’ atau penjajaran strategik yang dianggap penting untuk kelangsungan masyarakat India.
Kenyataan Vigneswaran ketika Ucapan Dasar Presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MIC ke-79, bulan lalu seolah-olah memberi bayangan parti itu mungkin meninggalkan gabungan yang sudah terbentuk sejak 1954 di bawah payung Perikatan sebelum bertukar nama kepada BN.
Sementara itu Annuar menerusi hantaran lain di media sosialnya mendakwa berdasarkan laporan, parti UPKO, MCA, MIC dan UMNO sudah pun membuat ketetapan untuk tidak bersama Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Malah beliau berkata, DAP juga kononnya membayangkan kesediaan meninggalkan kerajaan.
“Ini semua adalah strategi menyelamatkan diri kerana “house on fire”. Rancangannya ialah untuk “regroup” semula pasca pilihan raya untuk meneruskan Madani dan pimpinan PH.
“Bagi yang nak bergerak solo dan percubaan menyelamatkan diri itu, silakan. Itu kepandaian politik masing masing.
“Kita tetap percaya bahawa era politik solo sudah tiada. Sabah mengajar kita betapa politik hari ini menuntut kepada Kerjasama (taawun) dan wujud Bersama (taayush). Politik solo dan ego sudah tiada tempat,” ujarnya.
Justeru beliau berkata, PN akan terus menelurusi politik muafakat dan ia bermula dengan muafakat Melayu dan Pribumi sebagai terasnya.
“Muafakat Melayu dan Peribumi ini, mestilah diwujudkan dalam konteks menjadi asas kepada muafakat pelbagai kaum yang lebih besar dan bersandarkan sepenuhnya kepada semangat asal Perlembagaan dan Rukun Negara.
“Alhamdulillah muafakat ini sudah mula terbentuk dan kini sedang membesar secara organik menjadikan satu gabungan payung besar (GPB) satu realiti..insyaallah,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















