KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menegaskan pendirian menolak sebarang pengiktirafan rasmi Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana didakwa tidak selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan, termasuk kegagalan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta tidak menekankan elemen perpaduan nasional.
Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif berkata, pendirian itu dibuat susulan satu perkongsian tular di media sosial yang memaparkan seorang graduan UEC memiliki kelulusan akademik tinggi namun, gagal berfikir secara matang serta tidak fasih berbahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan negara.
Katanya, situasi berkenaan mencerminkan masalah lebih besar dalam sistem pendidikan UEC apabila pencapaian akademik semata-mata tidak menjamin kefahaman terhadap nilai, budaya dan dasar negara.
“Kelulusan atas kertas tidak boleh dijadikan ukuran mutlak sekiranya ia gagal membentuk jati diri kebangsaan serta kefahaman terhadap Perlembagaan dan realiti masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebarang pertimbangan untuk mengiktiraf UEC tidak boleh dibuat atas dasar tekanan politik atau persepsi luar, sebaliknya mesti berpandukan prinsip pendidikan kebangsaan yang telah digariskan.
Menurut Shahrulufti, UEC tidak selaras dengan kurikulum kebangsaan, tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan tidak memberi penekanan kepada agenda perpaduan nasional.
Malah dakwanya, Malaysia Qualifications Agency (MQA) juga tidak mengiktiraf UEC sebagai kelayakan standard untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
“Amat memalukan apabila masih terdapat pelajar Cina berkelulusan UEC yang tidak fasih berbahasa Melayu dalam pertuturan harian.
“Bagaimana kelulusan seperti ini mahu disetarafkan dengan sistem pendidikan negara?” soalnya.
Sehubungan itu, Putra menegaskan bahawa, pengiktirafan rasmi terhadap mana-mana kelayakan pendidikan hanya wajar dipertimbangkan sekiranya ia menghormati Perlembagaan Persekutuan, dasar pendidikan negara serta identiti kebangsaan Malaysia. – MalaysiaGazette
















