GOMBAK – Seramai 53.9 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini memilih laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan ia menghampiri sasaran 70 peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian itu menunjukkan usaha merombak ekosistem pendidikan negara ke arah bidang berkemahiran tinggi kini berada pada landasan yang betul.
“Pada akhir RMK-13 nanti, kita berhasrat supaya para lepasan SPM ini, 70 peratus daripada mereka berada dalam sektor TVET tinggi ini dan ini telah dapat dicapai setakat ini dengan pencapaian 53.9 peratus.
“Maksudnya kita memerlukan kira-kira 17 peratus sahaja untuk capai matlamat itu,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja beliau ke Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) di sini hari ini.
Beliau berkata, ketika ini, terdapat 439,000 pelajar TVET di seluruh negara melibatkan 1,398 institusi – satu angka yang disifatkan signifikan – dalam usaha merubah landskap pendidikan nasional.
Menurutnya lagi, sasaran RMK-13 itu mampu dicapai melalui usaha berterusan UniKL dan fakulti-fakulti di bawahnya selain sokongan institusi TVET lain tanpa mengenepikan kursus tradisional bagi sektor yang tidak memerlukan kepakaran tinggi.
Sementara itu, UniKL BMI dalam satu kenyataan memaklumkan lawatan kerja Ahmad Zahid itu mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan institusi berkenaan sebagai peneraju pembangunan modal insan TVET khususnya dalam sektor tenaga elektrik, elektronik, semikonduktor, telekomunikasi dan bioperubatan elektronik
Pada sesi lawatan kerja itu Ahmad Zahid turut merasmikan bangunan Sustainable Energy Living Lab (SELL), bangunan net-zero/energy-plus pertama di Malaysia yang dilengkapi teknologi penjanaan dan pengurusan tenaga pintar bagi menyokong agenda peralihan tenaga negara. – MalaysiaGazette
















