RAUB – Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia(MDIO) berjaya menyiapkan projek menaik taraf infrastruktur komuniti bernilai RM1 juta di Kampung Jeram Besu di sini.
Projek di bawah pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI 2025 itu mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh pembangunan desa melalui pendekatan ‘whole of government’.
Majlis peluncuran projek tersebut disempurnakan dengan kehadiran Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Razali Alias, yang mewakili kepimpinan tertinggi sektor keselamatan dan kerajaan negeri.
Wan Rosdy dalam ucapannya berkata, pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Jeram Besu telah membawa peningkatan ketara terhadap kemudahan asas penduduk setempat.
Katanya, kejayaan pelaksanaan projek tersebut turut memperlihatkan kesepaduan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam memastikan agenda pembangunan luar bandar terus diberi keutamaan .
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh kesejahteraan rakyat, malah diyakini mampu membawa perubahan positif yang berpanjangan kepada kehidupan masyarakat kampung,” katanya pada majlis peluncuran Kampung Angkat MADANI MDIO.

Wan Rosdy berkata, inisiatif Kerajaan Madani telah berjaya memberi manfaat kepada seluruh penduduk dan masyarakat sekeliling.
Katanya, bukan sahaja penduduk kampung dapat menikmati prasarana masjid yang selesa malah manfaatnya turut dirasai oleh orang luar yang menggunakan jaringan jalan raya di kampung tersebut.
“Tabika KEMAS pula kini kelihatan lebih selesa dan ceria, seterusnya memberi motivasi yang tinggi kepada perkhidmatan pembelajaran walaupun dalam suasana kampung,” katanya.
Sementara itu, Mohd Razali berkata, MDIO berbangga dapat menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan komuniti melalui projek berimpak tinggi yang menumpukan kepada penaiktarafan masjid, tabika serta kemudahan asas lain yang memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk .

Menurut beliau, projek di Kampung Jeram Besu merupakan projek Kampung Angkat MADANI kedua dilaksanakan oleh MDIO, selepas kejayaan projek pertama di Sekolah Angkat MADANI, Sekolah Kebangsaan Gembut, Kota Tinggi, Johor.
Projek tersebut melibatkan kerja naik taraf kemudahan sekolah dan kantin bagi lebih 300 pelajar dan warga pendidik .
“Masjid dan tabika ini bukan sekadar tempat solat, tempat murid belajar tetapi juga menjadi ruang interaksi sosial dan pembinaan jaring ukhuwah serta nilai murni kalangan masyarakat.
“Sesunggunya inilah manifesasi sebenar semangat MADANI – kasih, hormat dan ihsan yang diterjemahkan melalui tindakan nyata yang dilaksanakan,” katanya.
Kampung Jeram Besu dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI MDIO bagi tahun 2025 dengan skop projek melibatkan penaiktarafan Masjid Kampung Jeram Besu termasuk pemasangan panel solar, baik pulih struktur, sistem elektrik, kemudahan tandas serta perolehan van jenazah baharu,
Selain itu, kerja membaik pulih Tabika KEMAS Kampung Jeram Besu bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pembelajaran kanak-kanak turut dilaksanakan.
Pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di kampung berkenaan membuktikan sinergi berkesan antara agensi kerajaan dan komuniti setempat dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat, selari dengan aspirasi pembangunan Malaysia MADANI* yang inklusif dan mampan. – MalaysiaGazette















