GOMBAK – Kerajaan akan menyantuni sebarang pertikaian yang timbul secara berhemah melibatkan premium tanah antara Felda dan Kerajaan Negeri Terengganu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kepentingan dan kebajikan para peneroka sentiasa terpelihara.
“Saya yakin kerjasama di antara kerajaan pusat melalui FELDA dan FGV dengan kerajaan Tengganu khususnya setiausaha kerajaan negeri yang telah menjadi perunding bagi pihak kerajaan negeri untuk kita menyantuni beberapa pertikaian yang jika ada untuk kita memberikan keutamaan kepada kepentingan dan kebajikan para peneroka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan kerja ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) British Malaysian Institute di sini hari ini.
Hadir sama pada sesi lawatan itu Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Sebelum ini, media melaporkan, Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju melanjutkan tempoh remedi selama sebulan hingga 7 Januari tahun depan susulan perkembangan positif rundingan dengan Felda berhubung isu tuntutan terhadap tanah milik kerajaan negeri yang dimajukan sebagai ladang komersial oleh Felda dan FGV Holdings Berhad (FGV).
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Zulkifli Ali berkata, selepas notis kesalahan bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) disampaikan, pihaknya telah mengadakan beberapa siri rundingan dengan pengurusan tertinggi Felda bagi mencari penyelesaian menyeluruh kepada isu-isu berbangkit.
“Melihat kepada perkembangan positif hasil rundingan itu, Kerajaan Terengganu yakin siri rundingan seterusnya akan diteruskan hingga berjaya mencapai persetujuan yang dapat dimuktamadkan antara kerajaan negeri dengan Felda.
“Selaras kemajuan rundingan itu, kerajaan negeri bersetuju untuk melanjutkan tempoh remedi dalam notis yang telah dikeluarkan, bagi tempoh sebulan berakhir pada 7 Januari 2026 serta tidak meneruskan dengan notis yang telah dikeluarkan kepada semua Lembaga Pengarah FGV,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid juga menjelaskan, Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju melanjutkan tempoh operasi selama sebulan bagi membolehkan aktiviti yang sebelum ini tertangguh diteruskan.
Katanya, pertikaian timbul susulan permintaan kerajaan negeri itu agar premium tanah dinilai berdasarkan nilai pasaran semasa.
Bagaimanapun, jelas beliau, sehingga kini, geran atau hak milik tanah masih belum dikeluarkan sekali gus membuka ruang rundingan antara kedua-dua pihak bagi mencari penyelesaian terbaik.
Katanya lagi, jika tanah tersebut diserahkan semula, Kerajaan Negeri Terengganu perlu mengambil alih sepenuhnya pengurusan peneroka serta semua tanggungan dan aktiviti berkaitan di kawasan terbabit.
Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan melalui Felda dan HGB bersama Kerajaan Terengganu akan terus diperkukuhkan khususnya menerusi peranan kerajaan negeri sebagai perunding. – MalaysiaGazette
















