Shazeli Kahar

SHAH ALAM – Ahli perniagaan, Albert Tei dan isteri sedia membantu siasatan susulan dakwaan kepala diacu pistol semasa diserbu penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditangkap di Puchong, 28 November lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya difahamkan pasangan suami isteri itu kini berada di luar kawasan dan keterangan hanya boleh diambil selepas mereka pulang ke rumah.

“Pihak-pihak terlibat sudah pun dipanggil dan tampil memberi keterangan untuk membantu siasatan. Yang belum setakat ini adalah dalam kalangan ahli keluarga, selepas kejadian mereka dipercayai telah berada di luar kawasan (dalam negara).

“Dalam tindakan untuk dipanggil balik untuk membantu siasatan dan mereka telah memberi komitmen untuk membantu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor hari ini.

Pada 28 November lalu, isteri ahli perniagaan itu, Lee Pei Rie mendakwa terdapat pegawai SPRM mengacukan pistol ke arah suaminya ketika tangkapan dibuat di kediamannya di Puchong.

Terdahulu, Shazeli mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menerima laporan daripada seorang wanita berhubung dakwaan salah penguat kuasa SPRM mengacukan senjata ke arah suaminya pada 28 November lalu.

Susulan laporan itu, Shazeli berkata, pihaknya telah membuka satu kertas enkuiri polis (KEP) bagi menyiasat dakwaan berkenaan.

“Siasatan akan dilaksanakan secara telus dan profesional, berpandukan peruntukan undang-undang,” katanya.

Selain itu, Shazeli juga mengesahkan kesemua lima anggota penguat kuasa SPRM sudah dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

“Alhamdulillah, setakat ini telah dipanggil (penguat kuasa SPRM) dan memberikan kerjasama yang baik kepada pihak PDRM. (Beri keterangan) semua yang terlibat di dalam operasi tersebut,” katanya.

Katanya lagi, polis juga telah menerima rakaman video daripada kamera litar tertutup (CCTV) milik pasangan suami isteri terbabit bagi membantu siasatan.

“Rakaman video daripada CCTV dan telefon bimbit sudah ada dan ia sudah diserah kepada polis dan forensik untuk membuat analisis yang lebih terperinci,” katanya.

Ditanya tentang rakaman video itu, Shazeli berkata, setakat hari ini, pihaknya tidak menemui keterangan mahupun bukti yang boleh mengesahkan dakwaan itu.

“Tetapi siasatan masih berlangsung dan kita masih mencari dan mengumpul keterangan dan bukti-bukti lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast