Penasihat Parti Putra, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap pada sidang media selepas menerima kad keahlian parti PUTRA di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Konvensyen 153 yang berlangsung semalam dilihat sebagai satu lagi peringatan keras mengenai masa depan orang Melayu apabila isu Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan kembali dibahaskan secara terbuka oleh tokoh-tokoh nasional dan pejuang Melayu veteran.

Konvensyen itu diserikan dengan ucapan perasmian oleh negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menegaskan, keperluan mendesak orang Melayu untuk kembali bersatu demi kelangsungan bangsa sebelum keadaan menjadi semakin terlambat.

Seruan tersebut disifatkan sebagai ikhlas dan berterusan meskipun beliau telah lama bersara daripada jawatan rasmi.

Turut menyampaikan ucapan ialah Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Ibrahim Abu Shah yang menghuraikan secara terperinci aspek sejarah, perundangan dan cabaran semasa berkaitan Fasal 153, termasuk kedudukan Melayu dan Bumiputra dalam Perlembagaan serta realiti politik semasa negara.

Bagaimanapun, Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali berkata, konvensyen, seminar dan kongres berkaitan isu Melayu bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah dianjurkan berdekad-dekad lamanya tanpa membawa perubahan ketara terhadap kedudukan ekonomi dan kuasa tawar-menawar orang Melayu.

Menurut beliau, orang Melayu tidak pernah ketandusan idea atau kepakaran akademik, namun apa yang kurang ialah keberanian untuk membayar harga perjuangan sebenar, termasuk berdepan risiko politik dan tekanan kuasa, sehingga perjuangan sering berakhir sebagai ritual tanpa hasil konkrit.

“Kebangkitan isu Melayu pada hari ini bukan kerana penemuan hala tuju baharu, sebaliknya berpunca daripada kehilangan kuasa politik, apabila seruan perpaduan hanya dilaungkan selepas kedudukan tersebut terlepas,” katanya dalam kenyataan.

Mengimbau sejarah, Ibrahim berkongsi pengalamannya sejak era kepimpinan pelajar ITM pada awal 1970an yang menyaksikan perjuangan panjang sehingga penubuhan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 1999, satu perjuangan yang menurutnya dibayar dengan tangkapan, kecederaan dan pengorbanan kebebasan.

Beliau menegaskan, pengalaman tersebut membuktikan perubahan sebenar hanya berlaku apabila perjuangan disertai pengorbanan, bukannya sekadar pidato atau resolusi yang tidak disokong kuasa politik.

Dalam konteks itu, beliau menjelaskan, penubuhan Perkasa pada 2008 sebagai wadah tekanan bagi memastikan agenda Melayu dan Bumiputra kekal dalam arus perdana nasional, namun mengakui banyak resolusi yang diluluskan gagal dilaksanakan kerana ketiadaan kuasa pemerintahan.

Antara cadangan utama yang dibangkitkan termasuk penubuhan dana besar bagi pemilikan harta Melayu dan Bumiputra, pemulihan Tanah Rizab Melayu kepada paras 50 peratus, pengukuhan Bahasa Kebangsaan serta penegasan Agenda Bumiputra sebagai dasar induk pembangunan negara selaras Fasal 153.

Beliau turut menyentuh penubuhan Parti PUTRA yang disifatkan sebagai kesinambungan terakhir perjuangan Melayu selepas UMNO dilihat gagal mempertahankan agenda bangsa, dalam keadaan landskap politik negara semakin dipengaruhi fahaman liberal dan pluralisme.

Ibrahim menegaskan, sejarah tidak akan menilai perjuangan melalui slogan atau konvensyen semata-mata, sebaliknya melalui keberanian untuk bertindak dan berkorban, sambil mengingatkan bahawa generasi hari ini akan dihakimi sama ada sebagai pejuang sebenar atau sekadar pelakon di pentas politik. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast