KUALA LUMPUR – Sebanyak RM20,123,100 Bantuan Back To School disalurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada 36,330 penerima dalam kalangan anak-anak asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, menerusi bantuan tersebut, setiap pelajar akan menerima bantuan RM450.
“Bantuan pakaian dan peralatan persekolahan ini adalah merupakan komitmen MAIWP dalam meringankan beban kewangan ibu bapa dari kalangan penerima bantuan MAIWP untuk sesi persekolahan setiap tahun melibatkan anak-anak di peringkat rendah dan menengah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Bantuan Back To School yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.

Menurut Mohd, Nai’m, istimewanya, bermula 2026 MAIWP menambah baik kaedah pengagihan dengan menyediakannya secara lebih efisien dan sistematik menerusi sistem tebus tanpa tunai (dompet elektronik) bagi pembelian barangan keperluan dan pakaian sekolah.
“Para pelajar dan ibu bapa bebas untuk memilih dan mendapatkan keperluan tersebut di outlet-outlet terpilih yang berdekatan barangan keperluan,” ujarnya.
Beliau berkata, komitmen MAIWP membantu dan memastikan anak-anak asnaf tidak terpinggir dalam pendidikan terbukti apabila sehingga November tahun ini, sebanyak RM111,120,785.42 dana zakat telah diagihkan.

“Bantuan yang diagihkan bagi membantu anak-anak asnaf melalui skim bantuan pendidikan bermula dari sekolah rendah hingga ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT),” tambahnya.
Sebagai info, penebusan dan pembelian bantuan pakaian sekolah melalui boost app boleh dilakukan bermula pada 22 Disember ini.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im merakamkan penghargaan kepada MAIWP yang menyantuni para pelajar dan asnaf khususnya di Wilayah Persekutuan pada setiap tahun menerusi program Bantuan Back To School. – MalaysiaGazette
















