KUALA LUMPUR – Insiden runtuhan dan kebakaran pengangkut arang batu yang berlaku di Jeti Kompleks Tanjung Bin, Johor pada 13 Disember lalu tidak menjejaskan operasi dan projek Malakoff Corporation Bhd. (Malakoff).
Syarikat itu memaklumkan, operasi di jeti berkenaan serta di Loji Janakuasa Tanjung Bin dan Loji Janakuasa Tanjung Bin Energy terletak secara berasingan dari segi fizikal menyebabkan operasi loji tidak terjejas akibat insiden itu.
Selain itu, Malakoff menjelaskan, peralatan yang terlibat dalam insiden tersebut bukan kren seperti yang dilaporkan tetapi ia adalah coal unloader (pengangkut arang batu) dan tidak berada dalam operasi kerana sedang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan.
Katanya, Jeti Kompleks Tanjung Bin dilengkapi dengan lima unit coal unloader dan hanya satu unit terlibat dalam insiden tersebut manakala coal unloader yang lain boleh beroperasi seperti biasa.
“Malakoff juga ingin memberi jaminan kepada para pemegang kepentingan bahawa insiden ini tidak menjejaskan projek-projek sedia ada atau projek masa depan syarikat,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Tambahnya, siasatan dalaman berhubung insiden ini sedang dijalankan dan Malakoff terus bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan, termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).
Memandangkan siasatan masih berjalan, syarikat tersebut berpendapat adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan pada peringkat ini. Maklumat lanjut akan dikongsi setelah dapatan siasatan disahkan.
Katanya, Malakoff kekal komited terhadap aspek keselamatan, integriti operasi dan ketelusan, dan akan terus memberikan makluman dari semasa ke semasa apabila bersesuaian.
Dalam insiden runtuhan dan kebakaran coal loader di Loji Janakuasa Tanjung Bin Sabtu lalu, dua pekerja, Muhammad Alfarid Ahmad, 19, dan Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22, meninggal dunia, manakala tiga lagi cedera dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Seorang daripada tiga pekerja kontrak yang cedera dalam insiden runtuhan dan kebakaran kren mengangkat arang batu di Loji Janakuasa Tanjung Bin, Kukup di sini pada Sabtu lalu, sudah dibenar keluar hospital, hari ini.
Dua lagi masih menerima rawatan dan berada di bawah pemantauan perubatan. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Bomba siasat kebakaran pacuan empat roda di lokasi kren runtuh
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















