Rakaman kemalangan maut di Kuchai Lama yang tular di laman sosial.

KUALA LUMPUR – Polis meminta orang ramai termasuk pemilik rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang menyaksikan kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Kuchai Lama, di sini, 8 Disember lalu, tampil membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas rakaman video kemalangan berkenaan tular di media sosial.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RS150 dan sebuah kereta Honda City di Jalan Kuchai Lama dari arah Sri Petaling menghala ke Jalan Klang Lama.

“Siasatan awal mendapati perlanggaran berlaku ketika motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 25 tahun sedang melalui selekoh jalan.

“Motosikal tersebut kemudiannya dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 38 tahun yang datang dari arah Sri Petaling,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan pada kira-kira pukul 7.11 pagi, 9 Disember lalu.

Menurut beliau, kes pada awalnya disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum diklasifikasikan semula kepada Seksyen 41(1) akta sama susulan kematian mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa.

“Polis telah merakam percakapan pemandu kereta yang terlibat dan individu berkenaan juga telah membuat laporan polis pada hari kejadian.

“Kertas siasatan kini sedang dilengkapkan untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Salehuddin Musa di Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast