JOHOR BAHRU – Pengharaman penuh penggunaan vape di negara ini disasar akan dimuktamad menjelang tahun depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pengumuman tersebut hanya menunggu masa yang sesuai dan tidak timbul lagi persoalan sama ada akan dilaksanakan atau tidak.
“Kita sebenarnya sudah sedia dan saya pernah kata istilah sekarang ini bukanlah ‘jika’ kita haramkan vape tetapi ‘bila’ kita akan haramkan vape.
“Ini bermakna, kita telah menetapkan keputusan untuk pengharaman vape ini, jadi, kalau kita ke arah pengharaman itu, isunya adalah bila.
“Saya ulang kembali mungkin 2026 sama ada di pertengahan atau paling lewatnya di hujung 2026,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja rasmi di Hospital Permai di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.
Menurut Dr Dzulkefly, KKM menyasarkan penguatkuasaan larangan itu dilaksanakan selewat-lewatnya menjelang pertengahan 2026 atau sebelum akhir tahun berkenaan.
Beliau berkata, meskipun kementerian terlepas membentangkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini namun beliau yakin akan dibawa semula untuk pertimbangan awal tahun hadapan.
Jelasnya, antara faktor utama mendorong keputusan itu adalah kebimbangan terhadap penggunaan cecair vape dicampur bahan terlarang dan bahan sintetik didapati berkait dengan kes psikosis akibat dadah serta masalah kesihatan mental yang serius.
“Kita dengar terlalu banyak kebejatan tentang vape dan penggunaannya. Saya baharu dengar tadi ada pesakit di sini (Hospital Permai) yang dirujuk kerana mengalami psikosis akibat penggunaan bahan seperti kanabis sintetik dan bahan terlarang lain, sebahagiannya diambil melalui vape,” katanya.- MalaysiaGazette
















