KUANTAN – Pelajar di dua pusat pengajian di sini, terpaksa dipindahkan selepas kawasan terbabit dilanda banjir akibat hujan berterusan selama beberapa hari di Pahang.
Pendaftar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) Mohd Faizul Abdul Hadi Nor berkata, sebanyak 135 pelajar yang menetap di asrama telah dipindahkan ke masjid universiti.
“Semua mangsa telah diuruskan dengan baik mengikut pelan pengurusan bencana UnIPSAS dan pihak kami sedang mengurus serta menyediakan semua keperluan mereka yang terjejas,” katanya di sini hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan Mejar (PA) Zahidi Zainudin ketika dihubungi Bernama berkata operasi menyelamat pelajar dilaksanakan kira-kira 1 tengah hari hingga 5 petang.
Beliau berkata kesemua pelajar terlibat telah dipindahkan menggunakan bot amfibia jenis Sealegs dengan bantuan empat penyelamat diketuai Sarjan (PA) Amrad Isnin.
Sementara itu, media melaporkan lebih 100 pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di sini dipindahkan selepas kawasan kolej itu dinaiki air.
Proses pemindahan pelajar dilaporkan dilaksanakan secara berperingkat ke Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kuantan dengan kawalan rapi bermula 8.30 pagi tadi.
— BERNAMA
















